HULU SELANGOR: Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor tidak diadakan kerana Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran majlis tersebut adalah kebetulan dengan hari penamaan calon yang diadakan semalam.
Menurut beliau, majlis menyambut perayaan Aidilfitri itu dianjurkan bagi meraikan perbezaan dan mengukuhkan hubungan serta keharmonian masyarakat yang berbilang kaum.
“Ini memang pengilirannya sebab sebelum ini kita buat di semua daerah tetapi memang (tahun ini) kita pilih kawasan ini kebetulan ini merupakan lokaliti pertama rumpun Selangor oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Jadi melihat respon yang baik, kita buat di sini sebab mungkin sambutan Tahun Baharu Cina telah berlangsung di daerah Dengkil ataupun Sepang, baru-baru ini.
“Jadi mungkin sambutan Hari Merdeka kita boleh rotate kerana kita juga nak rapat dengan komuniti dan masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Terdahulu, media melaporkan, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyifatkan penganjuran rumah terbuka itu boleh bercanggah dengan banyak peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Bersih turut mempersoalkan lokasi dan masa penganjuran rumah terbuka itu kerana ia dianjurkan di kawasan dan ketika PRK Kuala Kubu Bharu yang bakal diadakan pada 11 Mei ini.
Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu turut menegaskan sepanjang majlis tersebut dianjurkan tiada elemen-elemen kempen yang dilakukan.
“Kalau orang nak datang dengan masing-masing memakai (baju parti) dan datang dari jauh itu saya tidak boleh nak halang, takkan saya nak suruh (mereka) tukar baju.
“Kita tidak menjadikan program ini (sebagai) program kempen. İni purely program kerajaan negeri, malahan dalam ucapan saya, saya alukan semua untuk hadir.
“Saya juga sempat jemput pihak pembangkang kalau nak hadir sama-sama, tidak ada masalah,” jelasnya.
Tambahnya, pemberian duit raya yang sepatutnya diadakan seperti tertera di dalam tentatif program dibatalkan kerana kerajaan negeri mengikut nasihat semua pihak.
“Nanti kalau orang tafsir yang bukan-bukan, kita tidak mahu (perkara itu berlaku). Jadi kita ambil langkah berjaga-jaga selepas teguran tersebut,” katanya. – UTUSAN










