DUNGUN: Seorang pemuda terkejut apabila menemukan bangkai seekor penyu ketika sedang membersihkan Pantai Sura, di sini, hari ini.
Masdi@Aminuddin Mohamad, 44, yang juga merupakan Ketua Geng Plastik Ija (GPI) daerah Dungun, berkata, bangkai penyu yang telah reput itu ditemukan kira-kira pukul 7.40 pagi.
“Saya memang selalu ke pantai untuk kutip sampah dan botol. Masa saya sedang melakukan kerja-kerja tersebut, tiba-tiba saya terlihat objek seperti penyu terdampar di atas pasir.
“Dari jauh, saya memang dah nampak penyu itu dah mati sebab fizikalnya telah reput dan baunya pun sudah kurang. Mungkin dah lama mati dan baru dihanyutkan arus ke pantai,” katanya.
Masdi berkata, dia tidak dapat memastikan jantina dan jenis penyu tersebut berikutan keadaan bangkai reptilia marin itu yang reput.
“Saya agak terkilan sebab penyu yang mati ini bersaiz besar iaitu 79 sentimeter (cm) panjang dan 55 cm lebar. Mungkin penyu ini dan dewasa,” katanya.
Menurutnya, dia turut menemukan seekor lagi bangkai penyu pada minggu lalu berhampiran pantai sama.
“Minggu lalu saya menemui bangkai Penyu Karas yang lebih kecil berusia antara empat hingga enam tahun.
“Bagaimanapun, bangkai penyu itu lebih sempurna sifatnya berbanding bangkai penyu yang ditemui hari ini,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan dua bangkai penyu agar ditemukan di Pantai Chakar Hutan, Kerteh, Kemaman dua hari berturut-turut sejak Selasa. – UTUSAN










