'Ramasamy patut masuk PN, ramai sayang dia'

‘Ramasamy patut masuk PN, ramai sayang dia’

FAHMI ketika membuat perjumpaan bersama komuniti di Cendol Pak Samat, di sini -UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil membidas cadangan Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI),  Dr P. Ramasamy untuk memboikot calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao. 

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II itu sepatutnya mendaftarkan diri atau URIMAI bagi menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Alahai Ramasamy, saya rasa beliau kurang kasih sayang. Saya tak pasti sama ada parti atau beliau sendiri telah mendaftar untuk masuk PN. 

“Masuklah PN. Sebab ramai dalam tu yang saya percaya akan sayang beliau,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan kerja di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), di sini hari ini. 

Terdahulu, Ramasamy yang juga bekas pemimpin DAP dilaporkan mendakwa banyak janji ditaburkan kerajaan kepada kaum India tidak ditunaikan. 

Berikutan itu, beliau meminta masyarakat India untuk memboikot calon Sock Tao daripada DAP.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Sock Tao, Khairul Azhari Suat (PN), Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas). 

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN itu pada 11 Mei depan, manakala hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah melakukan perbincangan bagi memastikan MIC untuk turut sama-sama berkempen untuk Sock Tao dalam menyantuni pengundi India. 

Dalam pada itu, beliau berkata, ketiadaan kelibat pemimpin Pas yang turun membantu kempen calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kemungkinan disebabkan kekalahan yang sudah dijangka lebih awal.  

“Ini sudah masuk hari ketiga dan setakat ini kita lihat cuma pemimpin utama dari parti Bersatu yang banyak bercakap.

“Hanya Ahli Parlimen seperti (Datuk) Dr Radzi Jidin jelaskan perkara tersebut tapi ramai pimpinan utama Pas seolah-olah boikot. Saya tak tahulah. Tapi saya ucapkan yang terbaik untuk mereka,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN