KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail memberi teguran kepada kerajaan negeri agar perbelanjaan yang dibuat benar-benar perlu bagi mencapai keberhasilan dan keberkesanan aktiviti yang dilaksanakan.
Titah baginda, dasar dan projek yang sudah tidak relevan dengan dinamik semasa perlu diubah suai atau diganti segera agar memberikan faedah maksimum kepada rakyat.
Baginda bertitah, bajet pembangunan negeri 2024 dengan tema melestarikan ekonomi negeri demi kesejahteraan rakyat telah menggariskan tiga fokus utama iaitu peningkatan sosio ekonomi rakyat, pengukuhan ekonomi mampan dan pemerkasaan sistem penyampaian perkhidmatan.
Titah baginda, sejumlah RM293.92 juta telah diperuntukkan bagi tahun 2024 dengan pecahan sebanyak RM184.64 juta untuk perbelanjaan mengurus manakala RM109.27 juta lagi diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.
“Berdasarkan bajet tersebut, beta difahamkan bahawa kerajaan negeri diunjurkan akan mengalami defisit sebanyak RM71.40 juta pada tahun berakhir 2024 berbanding RM68.18 juta pada tahun berakhir 2023 iaitu peningkatan defisit sebanyak RM3.2 juta atau 4.73 peratus.
“Justeru, beta berharap kerajaan dapat mengambil tindakan bagi memastikan perbelanjaan yang dibuat adalah perbelanjaan yang benar-benar perlu bagi mencapai keberhasilan dan keberkesanan aktiviti yang dilaksanakan. Dasar dan projek yang sudah tidak relevan dengan dinamik semasa perlu diubah suai atau diganti segera agar memberikan faedah maksimum kepada rakyat.
“Di samping itu, melipatgandakan usaha bagi meningkatkan hasil negeri melalui sumber-sumber baharu dan kerajaan negeri juga harus membuat analisa kritikal dan berani dalam membuat keputusan bagi pelaksanaan dasar-dasar baharu yang baik,” titah baginda.
Titah ucapan baginda itu dibacakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena istiadat perasmian penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN hari ini.
Sementara itu, baginda berharap sidang kali ini berjalan dengan lancar dan sempurna dengan perbahasan dapat dilakukan dengan penuh kematangan dan berhemah.
“Seperti yang ahli-ahli yang berhormat sedia maklum, dewan yang mulia ini merupakan cabang bebas dalam sistem demokrasi yang berpegang kepada doktrin pengasingan kuasa.
“Selain berperanan sebagai badan yang menyemak, menegur, menasihati dan mengaudit cabang eksekutif, ahli-ahli yang berhormat perlu menjalankan peranan masing-masing dengan sebaiknya bagi menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan demi kesejahteraan rakyat jelata.
“Sentiasalah melihat, mendengar dan memahami permasalahan rakyat dan carilah penyelesaian isu-isu yang berkaitan secara kreatif,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda menasihati semua kepimpinan kerajaan negeri dan rakyat keseluruhannya supaya benar-benar menghayati dan beramal dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti mana yang telah termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis dengan sebaik mungkin.-UTUSAN










