Rahsia Operasi Janji Benar Iran - Utusan Malaysia

Rahsia Operasi Janji Benar Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Serangan lebih 300 dron dan peluru berpandu ke Israel, awal pagi Ahad lalu, merekodkan pelancaran dron dan peluru berpandu terbesar dalam sejarah Iran.

Ia adalah kali pertama Iran menyerang Israel secara langsung selepas hampir setengah abad menjadi musuh ketat, lapor Al Jazeera.

Berikut adalah pertimbangan politik, ketenteraan dan ekonomi yang mungkin diambil kira oleh Teheran semasa membuat keputusan penting yang boleh meningkatkan kebimbangan perang serantau serta menjejaskan hala tuju perang Israel di Gaza.

POLITIK

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menamakan operasi itu sebagai ‘Janji Benar’ untuk menunjukkan pemimpin tertinggi di Teheran termasuk Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei benar-benar menunaikan ikrar ‘hukuman’ terhadap serangan Israel.

Serangan itu sebagai tindak balas susulan Israel menyerang konsulatnya di Damsyik sehingga mengorbankan tujuh pegawai tertinggi tentera termasuk dua jeneral yang bertanggungjawab mengetuai operasi di Syria dan Lubnan, 1 April lalu.

Serangan Iran juga berupaya mengalihkan perhatian dunia secara tidak langsung mengenai kematian puluhan ribu wanita dan kanak-kanak di Semenanjung Gaza.

Dalam jangka masa panjang, Iran juga dilihat mendapat keuntungan kuasa jika dibandingkan dengan kuasa serantau di negara Islam lain.

KETENTERAAN

Sehingga kini, tiada pengesahan rasmi daripada Iran mengenai jumlah sebenar dron dan peluru berpandu yang dilancarkan bagi menyerang Israel.

Hanya tentera Israel sahaja yang merekodkan jumlah tersebut melebihi 300 alat persenjataan.

Dron milik Iran menjadi tajuk utama dalam media antarabangsa sejak beberapa tahun lalu, terutamanya selepas pencerobohan Russia ke Ukraine.

Pegawai tentera Ukraine memaklumkan dron milik tentera Russia, Shahed adalah rekaan dari Iran yang berterusan menghujani wilayah mereka.

Saluran televisyen Iran melaporkan dron kamikaze Shahed-136 yang membawa kepala peledak agak kecil seberat kira-kira 50 kilogram (kg) digunakan semasa serangan terhadap Israel.

Iran sememangnya diketahui memiliki senjata peluru berpandu terbesar dan mempunyai pelbagai jenis di Asia Barat.

KESAN EKONOMI

Berbanding kesan terhadap ekonomi Iran yang sudah bermasalah, serangan yang dilancarkan sebenarnya memberi kesan lebih berat terhadap dimensi politik dan ketenteraan di negara itu.

Mata wang asing meningkat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap konflik perang serantau.

Mata wang Iran, Rial jatuh ke paras terendah dan laman web berita di Iran, Tasnim melaporkan hanya sedikit urus niaga mata wang dan emas di Teheran serta pasaran lain, pasca serangan berkenaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya