Pulau Pinang alu-alukan kedatangan tiga kapal persiaran baharu

Pulau Pinang alu-alukan kedatangan tiga kapal persiaran baharu

COSTA Deliziosa, salah satu daripada tiga kapal persiaran yang akan berlabuh di Terminal Kapal Persiaran Swettenham, George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang mengalu-alukan kehadiran tiga buah kapal persiaran baharu yang akan berlabuh di Terminal Kapal Persiaran Swettenham di sini, sepanjang bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, kapal persiaran pertama iaitu Costa Deliziosa yang berkapasiti 2,828 penumpang akan berlabuh pada 12 April ini bermula dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari.

“Selepas itu, pada 14 April pula, kapal persiaran Resilient Lady yang boleh memuatkan sehingga 2,770 penumpang akan berlabuh dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.

“Akhir sekali, kapal persiaran Serenade of the Seas, dengan kapasiti 2,500 penumpang, akan berlabuh pada 26 April 2024 iaitu dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

“Ketibaan kapal persiaran baharu ini menandakan satu lagi babak dalam sejarah maritim Pulau Pinang dan memberikan peluang kepada pelancong untuk merasai pesona negeri ini,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Hon Wai, peristiwa penting itu dapat meningkatkan lagi status Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan popular dalam kalangan pengembara antarabangsa dan pengendali pelayaran.

WONG HON WAI

“Pulau Pinang telah menjadi salah satu persinggahan kegemaran oleh kapal persiaran terkenal seperti Royal Caribbean International, Resort World Cruises, TUI Cruises, Costa Cruises, AIDA Cruises, Norwegian Cruise Line, Celebrity Cruises, Princess Cruises dan Cunard Line.

“Dari Januari hingga bulan ini, Pulau Pinang telah mengalu-alukan pelbagai kapal persiaran dan laluan pelayaran untuk berlabuh di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, pertumbuhan pesat pelancongan pelayaran di Pulau Pinang terbukti daripada data yang diperoleh dari tahun 2022 hingga 2023 di mana bilangan kapal antarabangsa yang berlabuh meningkat hampir dua kali ganda.

“Ia meningkat daripada 84 buah kapal kepada 156 buah kapal menandakan kadar pertumbuhan yang mengagumkan iaitu sebanyak 85.71 peratus.

“Pada masa yang sama, terdapat peningkatan ketara dalam bilangan penumpang antarabangsa di mana dalam tempoh yang sama, meningkat daripada 439,012 kepada 573,178, mewakili kadar pertumbuhan sebanyak 30.56 peratus,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN