SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon untuk dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, malam ini selepas senarai pendeknya dinilai pada mesyuarat malam tadi.
Pengumuman tersebut akan dibuat di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada pukul 8 malam.
Penolong Setiausaha DAP Selangor, Jamaliah Jamaludin berkata, calon tersebut diputuskan oleh pimpinan pusat partinya selepas menerima pandangan dan nasihat daripada kepemimpinan negeri serta suara akar umbi di sana.
“Senarai pendek sudah diterima dan dibawa ke peringkat pusat untuk dinilai dan diputuskan. Kepimpinan negeri memberi maklum balas berkenaan setiap calon dan pimpinan pusat yang akan endorse.
“Terdapat pelbagai pertimbangan dibuat termasuklah ciri calon orang tempatan selain kriteria-kriteria tertentu termasuk pandangan-pandangan diberikan oleh akar umbi ketika mereka bertemu dengan pimpinan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas calon yang akan diputuskan, namun tidak menafikan nama-nama yang tular sebelum ini untuk mewakili DAP menjadi pertimbangan dalam mesyuarat tersebut.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan DAP diberikan hak oleh PKR untuk menentukan calon mereka bagi PRK di DUN N.06 Kuala Kubu Baharu selepas kerusi itu diisytihar kosong apabila penyandangnya, Lee Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu.
Dalam pada itu, Jamaliah yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor menjelaskan, sentimen pengundi di sana lebih tertumpu kepada isu-isu tempatan termasuk memastikan kawasan tersebut kekal selesa untuk diduduki.
“Sudah pasti mereka mengharapkan pembangunan dan kemajuan di kawasan tersebut, namun lebih penting pada mereka adalah mengekalkan ciri-ciri Kuala Kubu Bharu sebagai kawasan yang damai dan sesuai untuk terus didiami.
“Sebagai Exco Alam Sekitar, saya juga pastikan kawasan hijau di sana dipelihara kerana itu menjadi antara tarikan yang ada di Kuala Kubu Baharu selain memperkasakannya sebagai tumpuan pelancong untuk merancakkan ekonomi tempatan,” ujarnya.
Katanya lagi, Kuala Kubu Baharu juga banyak bangunan-bangunan lama dan bersejarah perlu dipelihara yang menjadi sebahagian daripada permintaan pengundi di sana.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei inidan 27 April sebagai hari penamaan calon. Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.










