Polis akui tahap keselamatan KLIA longgar

Polis akui tahap keselamatan KLIA longgar

HUSSEIN Omar Khan (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa sebagai simbolik Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA antara Asisten Komisioner Imran Abd Rahman (kiri) kepada Asisten Komisioner Azman Shari'at (kanan) di Perkarangan Aeropolis IPD KLIA. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis mengakui tahap keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah longgar dan berisiko kepada sebarang ancaman jenayah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan malah mendakwa, sesiapa sahaja bebas boleh keluar masuk ke terminal tanpa dikesan dengan membawa bahan berbahaya yang boleh mengancam orang awam.

“Kalau di luar negara amat ketat, ada pengimbas tetapi di KLIA, boleh lagi bawa mercun tanpa dijejak pun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di sini selepas menyaksikan sesi serah terima tugas Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at daripada Senior Asisten Komisioner Imran Abdul Rahman.

Awal pagi semalam, seorang lelaki nekad cuba menembak isterinya dari jarak dekat di balai ketibaan Terminal 1 KLIA namun tersasar kena seorang pengawal peribadi mangsa.

Suspek, Hafizul Harawi, 38, berjaya melarikan dirinya dengan sebuah kereta dan kes itu disiasat pihak polis mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Lelaki yang bersenjatakan pistol semi automatik itu pernah ditahan dan memiliki beberapa rekod jenayah lampau termasuk Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Mengulas lanjut, Hussein walau bagaimanapun berkata, kes terbaharu yang berlaku di KLIA itu sebenarnya boleh juga terjadi di mana-mana lokasi awam tanpa mengira had waktu.

“Mujur respons kita termasuk pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) cukup baik dan keadaan buruk berjaya dihindarkan segera sebelum situasi kembali biasa,” jelasnya.

Menyentuh perancangan kawalan jangka panjang di KLIA, beliau berkata, perkara itu ada dibincangkan dengan pengurusan MAHB kerana terminal udara tersebut amat sensitif.

Antara usaha penambahbaikan yang beliau sendiri mencadangkannya awal tahun ini ialah penggunaan skuter kawalan kendiri untuk respons lebih pantas dan liputan kawasan luas.

Pihak kerajaan Selangor ujar beliau, pada dasarnya bersetuju membeli jentera itu untuk polis kontinjen negeri itu bagi penugasan rondaan anggotanya di kedua-dua terminal KLIA.

Skuter mini itu tambahnya, buat permulaan sesuai diletakkan di Terminal 1 yang agak sibuk tetapi bagi aras 3 dan 5 pula masih selamat kerana ada ramai polis bantuan MAHB.

Hussein pada masa sama turut mengulangi syornya sebelum ini agar lorong paling hampir dengan pintu utama balai berlepas dan ketibaan tidak dibuka kepada laluan orang awam.

“Ini zon paling berisiko kerana selama ini sesiapa sahaja boleh berada di situ dan campak sesuatu berbahaya padahal ia sepatutnya ditutup atas faktor keselamatan,” tegas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN