PN boleh menang jika letak calon Melayu di Kuala Kubu Baharu - Utusan Malaysia

PN boleh menang jika letak calon Melayu di Kuala Kubu Baharu

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) berupaya untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu sekiranya meletakkan calon Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, 11 Mei depan.

Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, pihaknya akan mengemukakan cadangan itu berdasarkan suara daripada akar umbi parti dalam mesyuarat akan datang.

“Tak ada keputusan lagi di peringkat PN, kita akan runding untuk calon terbaik. Sebelum ini Gerakan bertanding, orang berharap walaupun masih daripada Gerakan calon itu orang Melayu kerana peluang untuk menang lebih besar.

“Calon daripada parti apa pun tak apa tapi orang Melayu, itulah pandangan akar umbi. Bila ada mesyuarat untuk calon saya akan cakap perkara itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, peluang PN untuk memenangi kerusi itu juga cerah berdasarkan situasi semasa hari ini terutama berkaitan dengan ekonomi negara walaupun DUN berkenaan merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

“Kita lawan dulu baru tahu, kubu kuat PH atau tidak? Pola pengundi hari ini sudah berubah banyak. Saya harap PN menang kerana rakyat protes banyak di sebalik harga barang naik, harga ringgit jatuh dan macam-macam. Saya harap rakyat guna kesempatan ini bagi mesej kepada PH,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong daripada DAP pada 21 Mac lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 11 Mei ini selepas hari penamaan calon ditetapkan pada 27 April. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN