Pistol milik Ketua Polis Daerah Lahad Datu disimpan dalam almari berkunci - Utusan Malaysia

Pistol milik Ketua Polis Daerah Lahad Datu disimpan dalam almari berkunci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Siasatan polis berhubung kes kematian anak perempuan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Sabah, kelmarin dijalankan dari dua sudut iaitu kecuaian penyimpanan dan kecuaian penggunaan senjata api terbabit.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, aspek kecuaian penggunaan senjata api dalam siasatan kes itu tidak dapat ditekankan kerana kejadian bukan dilakukan oleh pemilik senjata api berkelayakan.

Kata beliau, siasatan juga menjurus kepada kecuaian penyimpanan senjata api berkenaan, namun buat masa ini tidak timbul isu kecuaian daripada aspek itu.

“Ini kerana siasatan mendapati senjata itu disimpan di dalam almari yang berkunci dalam bilik utama kediaman itu. 

“Mangsa anak bongsu dan biasa dengan bilik itu, belum pasti bagaimana dia boleh membuka almari berkenaan, mungkin ada terjumpa kunci. Perkara itu masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata beliau, pistol jenis Walther P99 itu yang dirampas selepas kejadian itu adalah pistol pasukan yang dibekalkan kepada KPD Lahad Datu dan bukan pistol peribadi.

Kelmarin, anak perempuan KPD Lahad Datu maut dipercayai tertembak diri sendiri menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu.

Mangsa berusia 14 tahun itu ditemukan kakaknya yang berusia 16 tahun dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik dalam rumah mereka, pada pukul 12.42 tengah hari.

Difahamkan, ketika kejadian, bapa mangsa berada di Kinabatangan, Sabah, atas urusan perpindahan rumah kerana baru berpindah selepas dinaikkan pangkat sebagai KPD Lahad Datu.

Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Lahad Datu, semalam merumuskan kematian remaja berusia 14 tahun itu berpunca daripada satu das tembakan yang terkena di bahagian dada.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais dilaporkan berkata, siasatan mendapati hanya satu das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan tembakan berkenaan terkena pada bahagian dada kanan mangsa.

Katanya, terdapat luka tembak pada dada kanan yang mengenai organ paru-paru dan tembus di bahagian belakang badan.

Hasil bedah siasat merumuskan kematian mangsa adalah disebabkan luka tembakan pada bahagian dada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya