PADANG BESAR: Perkhidmatan Hab Rangkaian Gentian Optik Point of Presence (PoP) di sekolah terpilih akan lebih murah dengan capaian internet bertambah laju dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Komunikasi dan Pendidikan telah berbincang untuk menyediakan perkhidmatan PoP di lebih 4,000 terpilih sekolah negara pada kadar lebih rendah.
“Perbincangan melibatkan beberapa perkara termasuk melibatkan penyedia perkhidmatan untuk menyediakan perkhidmatan lebih murah dan laju di semua sekolah terpilih untuk menjadi lokasi PoP.
“Kita harap sekolah yang terpilih khusus yang berada di kawasan luar bandar akan menerima manfaat daripada kualiti capaian internet yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke PoP Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Besar Utara di sini hari ini.
Fahmi hadir untuk meninjau projek PoP ZoN Utara di Perlis yang telah siap dan turut menerima maklum balas positif daripada komuniti sekitar lokasi PoP tersebut yang gembira berikutan kadar sangat murah dan kualiti internet lebih baik.
Tambah Fahmi lagi, sebanyak 437,000 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi menjelang akhir tahun 2025 menerusi pembinaan rangkaian Hab Gentian Optik PoP bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Katanya, pelaksanaan untuk membina 4,323 PoP di kawasan berhampiran sekolah luar bandar dan 47 PoP di kawasan perindustrian yang melibatkan sebanyak RM4.6 bilion ini dibahagikan kepada dua fasa.
“Fasa pertama melibatkan 677 PoP yang telah bermula pada 2021 hingga kini. Fasa kedua pula melibatkan 3,693 PoP yang dilaksanakan dari 2022 hingga 2025,” katanya.
PoP dilaksanakan bagi menyediakan infrastruktur gentian optik di kawasan sekitar sekolah, kediaman, premis perniagaan, komersial dan industri serta penyelenggaraan infrastruktur gentian optik.
Jarak liputan PoP ialah kira-kira 2.5 hingga tiga kilometer radius bagi setiap sekolah terpilih.-UTUSAN










