Pergiat usaha bantu pembangunan ummah di enam Wilayah Andaman - Utusan Malaysia

Pergiat usaha bantu pembangunan ummah di enam Wilayah Andaman

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan mengikuti Majlis Sembah Mengadap Hormat Oleh Ketua-Ketua Majlis Agama Islam (MAI) Enam Wilayah Andaman di Holding Room Hotel Le Erawan, Phang Nga, Thailand. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHANG NGA, THAILAND: Semua pihak seharusnya mempergiatkan usaha bagi membantu pembangunan ummah khusus melibatkan enam Wilayah Andaman di sini.

Keenam-enam Wilayah Andaman Thailand itu adalah meliputi Phang Nga, Phuket, Krabi, Trang, Ranong dan Satun.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, baginda bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sentiasa berusaha bagi melaksanakan segala bentuk jalinan kerjasama dalam meneruskan lagi agenda pemerkasaan ummah di rantau ini.

“Slogan ‘Menjunjung Syiar, Memaju Ummah’ menjadikan MAIPs terus memegang amanahnya dalam menjalinkan kerjasama serumpun meliputi pelbagai bidang berkaitan antaranya pengurusan hal ehwal Islam, pemerkasaan bahasa Melayu, tulisan jawi dan lain-lain melalui kerjasama erat bersama Majlis Agama Islam (MAI) di enam Wilayah Andaman Thailand ini,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian sewaktu Majlis Sembah Mengadap Hormat Oleh Ketua-Ketua MAI Enam Wilayah Andaman di Holding Room Hotel Le Erawan, di sini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Konsul Jeneral Malaysia di Songkla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, Penasihat Undang-Undang negeri, Radhi Abas, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, antara perkara yang diberi perhatian oleh baginda adalah melibatkan program-program ilmu termasuklah pemerkasaan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

“Program sebegini diharapkan dapat memberikan pendedahan asas berkaitan Bahasa Melayu dari pelbagai aspek terutama sekali memberi peluang pelajar-pelajar dari Enam Wilayah Andaman Thailand ini untuk meningkatkan lagi kemahiran dan penguasaan sebagai medium komunikasi,” titah baginda.

Di samping itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sejarah menunjukkan suatu ketika dulu penduduk beragama Islam di wilayah-wilayah Andaman boleh bertutur menggunakan Bahasa Melayu dengan amat baik.

Titah baginda, namun dengan beredarnya waktu dan beberapa faktor, penggunaan bahasa itu kini sudah semakin kurang terutamanya oleh generasi muda hari ini dan semakin dilupai seiring peredaran zaman.

“Begitu jugalah halnya dengan bidang-bidang lain seperti hal ehwal Islam meliputi pengurusan zakat dan perkahwinan, ekonomi, pelancongan, kebudayaan, kesenian, warisan, kesihatan, keselamatan dan sebagainya yang perlu terus diberikan perhatian, bimbingan, perkongsian ilmu serta dibincangkan dari masa ke semasa,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya