Wujudkan makmal Bahasa Melayu di sekolah di Wilayah Andaman

Wujudkan makmal Bahasa Melayu di sekolah-sekolah di Wilayah Andaman – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) membuat gimik pelancaran sewaktu Majlis Perasmian Makmal Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Muslim Wittaya School, Phuket, Thailand.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHUKET: Sekolah-sekolah di kawasan Wilayah Andaman dilihat mempunyai keperluan bagi memiliki Makmal Bahasa Melayu yang sememangnya relevan dan memberi banyak faedah kepada pelajar.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara faedah yang dapat diraih menerusi penubuhan makmal berkenaan adalah untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu yang lebih baik dan menjadi asas kepada pemahaman budaya, sejarah serta identiti masyarakat di wilayah berkenaan.

Baginda bertitah, pelajar juga dapat mengikuti pembelajaran lebih interaktif dan praktikal di samping melibatkan diri dalam aktiviti seperti perbincangan, penulisan, latihan atau lisan di makmal tersebut.

“Pengukuhan Makmal Bahasa Melayu membolehkan pelajar mengasah kemahiran berbahasa termasuk tatabahasa, kosa kata dan komunikasi,” titah baginda sewaktu Majlis Perasmian Makmal Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Muslim Wittaya School, di sini.

Turut berangkat pada majlis pelancaran itu adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Pemegang Lesen Sekolah Muslim Wittaya Phuket, Piyadej Chuea Chalad, Ketua Sekolah Muslim Wittaya Phuket, Yusof Yangtalea, Setiausaha Yayasan Muslim Phuket, Dr. Sirirat Gatemeuang dan Konsul Jeneral Malaysia di Songkla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.

Pembangunan Makmal Bahasa DBP membabitkan pembinaan bangunan tiga tingkat yang mampu menampung sehingga 480 pelajar.

Bangunan berkenaan yang dibina di atas tanah berkeluasan 52 meter itu juga menelan kos sebanyak 22 juta bhat (RM257,585.32).

Selain makmal bahasa, bangunan itu juga menyediakan beberapa kemudahan lain antaranya tiga bilik guru dan 12 kelas pengajian malah pembinaannya juga dijadualkan memakan masa selama lapan bulan dan dijangka siap pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, Makmal Bahasa Melayu di sekolah perlu diperkasa dengan penyediaan peralatan mencukupi seperti buku teks, kamus, komputer, dan perisian pembelajaran.

“Selain itu, aktiviti yang melibatkan penggunaan makmal seperti perbincangan, latihan menulis, dan permainan bahasa perlu kerap dijalankan. Malah guru juga boleh mengadakan sesi praktikal di makmal untuk mengajar tatabahasa, kosa kata dan kemahiran berbicara,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya