Perantau Kelantan mula pulang 

Perantau Kelantan mula pulang 

KENDERAAN pengguna jalan raya bertali arus memasuki bandar Gua Musang, Kelantan, semalam. - UTUSAN/ AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jumlah kenderaan dilihat mula bertali arus memasuki daerah ini sejak semalam berikutan kepulangan perantau untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jumlah kenderaan semakin bertambah sejak malam tadi, namun trafik lancar dan dijangka keadaan itu berterusan menjelang malam raya. 

Pekerja swasta, Muhd. Firdaus Mamat, 26, berkata, dia mengambil cuti awal untuk pulang menyambut hari raya bersama keluarganya di Pasir Puteh.

Katanya, terdapat empat tempat yang mengalami kesesakan teruk terutama di Plaza Tol Gombak dan Bentong. 

“Saya bertolak dari Kuala Lumpur pukul 6 pagi dan berlaku kesesakan agak teruk di Plaza Tol Gombak.

“Laluan susur masuk ke Gua Musang dari Lingkaran Tengah Utama (LTU) juga mengalami kesesakan teruk apabila jalan menjadi satu lorong,” ujarnya.

Ahmad Aiman Aliff Ahmad Bazlan, 31, pula berkata, dia bersama isteri dan seorang anak bertolak dari Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk pulang ke Kelantan pada pukul 2.30 pagi tadi.

Menurutnya, dia merancang perjalanan pada awal pagi kerana ingin mengelak kesesakan lalu lintas.

“Kesesakan agak teruk bermula dari Merapoh, Pahang sehingga jalan masuk ke Gua Musang.

“Saya singgah bersahur dan berehat di Merapoh sebelum meneruskan perjalanan ke Gua Musang dan kampung halaman isteri di Kampung Peria, Kuala Krai,” katanya.

Seorang pemandu e-hailing, Mohd. Arifuddin Mohamad Zaidi, 25, berkata, perjalanan pulang ke Gua Musang mengambil masa selama tujuh jam berbanding hari biasa hanya empat jam untuk sampai di Gua Musang.

Jelasnya, dia merancang perjalanan pulang sejak seminggu lalu kerana ingin mengelak kesesakan.

“Terdapat beberapa tempat yang mengalami kesesakan teruk dari dua lorong menjadi satu lorong.

“Bagi membantu melancarkan perjalanan, saya menggunakan aplikasi Google Maps yang boleh menjimatkan masa antara 45 hingga satu jam perjalanan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Sik Choon Foo berkata, laluan seperti Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Jeli sudah mengalami pertambahan kenderaan apabila perantau mula bergerak pulang ke kampung halaman sejak semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN