Perang Israel-Iran: Kesan kecil kepada Malaysia - PM

Perang Israel-Iran: Kesan kecil kepada Malaysia – PM

ANWAR Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara. - FB PM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perkembangan situasi tegang di Asia Barat memberikan kesan yang kecil kepada negara setakat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dibuka dengan kejatuhan amat kecil, yang mencerminkan trend serantau.

Walau apapun, kata beliau, Kerajaan Madani akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan bahawa keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan sentiasa terjamin.

Pada masa sama, katanya, kepentingan negara akan sentiasa menjadi matlamat utama.

“Kunci penyelesaian kepada isu ini ialah penyelesaian serta-merta yang adil terhadap keadaan yang tidak berperikemanusiaan melanda Gaza.

“Oleh itu, perhatian masyarakat antarabangsa mesti ditumpukan kepada isu ini, tanpa gangguan lain. Gencatan senjata yang berkekalan mesti diwujudkan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

“Dalam hal ini, sumbangan Malaysia terbaharu sebanyak 100 kontena dijangka berlepas pada 27 April ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan pegawai-pegawai kanan kerajaan lain.

Anwar berkata, mesyuarat tersebut bertujuan berbincang lanjut situasi tegang di Asia Barat mengambil kira perbincangan yang diadakan semalam.

“Mesyuarat yang diadakan dua hari berturut-turut menunjukkan perhatian serius kerajaan Madani terhadap isu ini, dan juga usaha yang diambil untuk memastikan bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak terjejas oleh perkembangan ini,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan situasi itu, Anwat berkata, pelancaran dron-dron oleh Iran merupakan tindakan yang sah berikutan serangan biadab oleh rejim Zionis Israel terhadap Kedutaan Iran di Damsyik.

“Kita berpuas hati dengan jaminan yang diberi oleh kerajaan Iran bahawa ia tidak akan mengambil apa -apa lagi tindakan, kecuali diserang oleh rejim Zionis Israel.

“Bersama negara-negara bertamadun lain, Malaysia menggesa rejim Zionis Israel untuk tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Asia Barat.

“Terdapat tanda yang jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat keadaan yang lebih buruk lagi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN