Penipuan SMS tebus mata ganjaran kembali aktif

Penipuan SMS tebus mata ganjaran kembali aktif

RAMLI Mohamed Yoosuf berucap ketika sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini. -UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui mesej pautan dikesan kembali aktif apabila sebanyak 18 kes dilaporkan dengan kerugian RM229,868 sejak 1 Januari hingga 17 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa dilaporkan menerima SMS kononnya daripada syarikat telekomunikasi terkenal seperti Maxis, Celcom dan Digi.

Katanya, kandungan SMS tersebut menyatakan mangsa mempunyai mata ganjaran yang bakal tamat tempoh dan digesa untuk segera menebus mata ganjaran tersebut melalui pautan yang disertakan.

“Mangsa yang menekan pautan tersebut akan diminta untuk memasukkan maklumat perbankan dalam talian milik mereka termasuklah nombor OTP (kata laluan satu kali) yang diterima.

“Mangsa kemudiannya akan mendapati wang daripada akaun bank mereka berkurangan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati sindiket mula kembali menggunakan modus operandi sedemikian sejak dua minggu lalu.

Jelas beliau, sebanyak 18 kes disiasat melibatkan nilai kerugian RM229,868.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terperdaya, dapatkan pengesahan daripada syarikat telekomunikasi yang berkaitan sekiranya menerima SMS yang meragukan.
“Sepatutnya mesej dengan pautan tidak boleh lagi dihantar melalui SMS.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan tidak sesekali berkongsi maklumat perbankan serta OTP dengan mana-mana pihak yang tidak dikenali,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN