Pengarah JSPT bersara wajib hari ini

Pengarah JSPT bersara wajib hari ini

RAZARUDIN Husain menyaksikan serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik antara Mohd. Azman Ahmad Sapri (kiri) bersama Mohd. Nasri Omar (kanan) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri bersara wajib berkuat kuasa hari ini. 

Kekosongan jawatan ditinggalkan Mohd. Azman akan diisi oleh Timbalan Pengarah 1, JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd. Nasri Omar sebagai Pemangku Pengarah JSPT. 

Majlis Serah Terima Tugas itu disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. 

Razarudin dalam ucapannya berkata, meninggalkan legasi yang tersendiri dalam lipatan sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di JSPT.

“Biarpun hanya menduduki kerusi nombor satu JSPT selama lima bulan, beliau (Azman) berjaya melaksanakan beberapa transformasi dan penambahbaikan kepada proses kerja dalam memantapkan hala tuju JSPT menjelang 2030.

“Antaranya, mentransformasikan Bilik Gerakan Trafik kepada Federal Traffic Control Center (FTCC) menjadi pusat untuk menyalurkan laporan menarik perhatian berkaitan kemalangan dan kesesakan jalan raya kepada Malaysia Control Center (MCC),” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Mohd. Azman atas segala jasa dan bakti sepanjang 38 tahun berkhidmat dalam pasukan.

“Umpama hilangnya sebutir permata berharga, persaraan Datuk (Mohd. Azman)pastinya diingati oleh warga PDRM yang pernah bertugas bersama-sama beliau.

“Mewakili kerajaan Malaysia serta barisan kepimpinan tertinggi pasukan, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan bersama pasukan keramat ini. 

“Kini tibalah masa untuk kami memulangkan kembali Datuk kepada keluarga tercinta,” katanya. 

Sementara itu, Mohd. Azman dalam ucapannya berkata, peluang diberikan selama lima bulan menerajui JSPT merupakan detik manis sepanjang berkhidmat bersama PDRM.

“Saya bersyukur di atas kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan sehingga ke peringkat ini.

“Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang cukup bermakna sepanjang karier di dalam pasukan. Ia tidak akan dicapai tanpa sokongan ahli keluarga serta warga JSPT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN