Pengampunan Najib: Kerajaan diminta bersikap jujur

Pengampunan Najib: Kerajaan diminta bersikap jujur

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa bersikap jujur berhubung keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk dakwaan isu tahanan di rumah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan titah adendum terutama afidavit sokongan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menimbulkan pelbagai persoalan.

“Kita mahu melihat di mana salahnya. Siapa Ahmad Zahid Hamidi? Beliau Timbalan Perdana Menteri dan bermakna beliau sepatutnya tahu keputusan dibuat oleh jawatankuasa pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

“Keputusan buat Januari, sekarang April, sudah empat bulan. Mengapa sekarang timbul? Satu (persoalan). Kalau timbul sekarang, apa motifnya? Mengapa sampai empat bulan isu ini timbul?

“Siapa yang bercakap benar? Mengapa ada clash antara dua anggota Kabinet? Seorang Timbalan Perdana Menteri dan seorang lagi Menteri Kabinet. Apa masalah antara presiden dan ahli parti? Bukankah Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ahli UMNO? Siapa tunjuk kepada siapa? Seorang kata tunjuk seorang kata nak perbetul fakta.

“Banyak perkara yang timbul, akhirnya rakyat kata Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) apa pasal diam sahaja, takkan Perdana Menteri tidak tahu? Kalau tidak tahu, rosak negara ini. Menteri Kabinet pun ada dalam (jawatankuasa Lembaga Pengampunan), mengapa diam juga?” soalnya kepada Utusan Malaysia.

AHMAD ZAHID HAMIDI

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Zahid mengesahkan melihat dan membaca titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’aya tuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraannya di rumah.

Titah adendum itu didakwa dilihat menerusi telefon Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ketika dikunjungi di rumahnya di Country Heights, 30 Januari lalu.

Namun, Tengku Zafrul dilapor mahu memfailkan afidavit memperbetul beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit yang diikrarkan oleh Ahmad Zahid.

HANIFF KATRI ABDULLA

Sementara itu,, peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan mengenai pengesahan Ahmad berhubung titah adendum (tambahan) yang membenarkan bekas Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Katanya, ia penting bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada orang ramai tentang apa yang berlaku ketika ini.

Seorang lagi peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin pula berkata, kerajaan perlu mengesahkan kenyataan Ahmad Zahid terlebih dahulu sebelum membuat tindakan selanjutnya.

“Saya setuju sekiranya terdapat titah tersebut, ia harus dimaklumkan kepada rakyat. Lebih penting, harus dimaklumkan kepada Najib kerana ia berhubung permohonan beliau sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Centre of Independent Journalism (CIJ), Wathslah G. Naidu berkata, proses kehakiman permohonan Najib berkaitan titah adendum untuk menjalani baki hukuman penjaranya di rumah perlu didengar di mahkamah terbuka kerana ia melibatkan kepentingan awam dan prinsip asas demokrasi.

Kata beliau, meskipun pihaknya menghormati kuasa kehakiman tetapi ia tidak boleh melemahkan prinsip demokrasi termasuk menghalang pengamal media membuat liputan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×