PETALING JAYA: Sekumpulan penduduk Petaling Jaya merayu kerajaan supaya meneruskan projek Lebuh Raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) atas dasar keprihatinan rakyat.
Wakil penduduk dari Taman Medan, Mohd. Razali Abdulllah berkata, projek itu perlu diteruskan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang tidak terkawal di situ.
“Saya merayu PJD Link ini diteruskan kerana banyak kenderaan masuk ke Taman Medan sebagai jalan alternatif. Tetapi situasi sebaliknya terjadi yang menyebabkan kesesakan lalu lintas melampau.
“Saya adalah penduduk yang sudah lebih 50 tahun tinggal di sini, projek PJD Link ini perlu diteruskan dan ia bukan untuk kepentingan peribadi tetapi merangkumi untuk semua orang bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Komuniti Petaling Jaya, Mohd Yusri Ramli pula berkata, pelaksanaan projek PJD Link tidak boleh ditangguhkan lagi berikutan kesesakan melampau lalu lintas yang berlaku.
“Sudah lebih lapam tahun projek ini dirancang tetapi belum dilaksanakan. Keadaan semakin tertekan sekiranya PJD Link ini tidak dilaksanakan kerana orang ramai menggunakan Lebuhraya Persekutuan untuk ke tempat kerja masing-masing.
“PJD Link adalah satu penyelesaian untuk mengubah aliran trafik di Lebuhraya Persekutuan yang buat masa sekarang aliran trafik teruk,” katanya.
Yusri berkata, dalam kajian yang dilakukan mereka, sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan penduduk Petaling Jaya bersetuju projek PJD Link dilaksanakan. – UTUSAN










