BESUT: Cuaca panas yang melanda daerah ini mendorong orang ramai membeli pendingin hawa untuk dipasang di kediaman masing-masing, sekali gus menaikkan jumlah jualan alat elektrik berkenaan.
Tinjauan mendapati, kebanyakan peniaga barangan elektrik menerima tempahan pendingin hawa yang tinggi pada setiap hari berbanding bulan lain.
Seorang peniaga barangan elektrik, Norhisham Yunus, 43, berkata, jumlah jualan pendingin hawa meningkat mendadak daripada lima biji kepada lebih 30 biji sehari.
“Sejak bulan puasa lepas, permintaan pendingin hawa ini sangat tinggi sehingga menyebabkan bekalan yang ada tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan penduduk di sekitar daerah ini.
“Keadaan cuaca yang panas ini membuatkan orang ramai memilih membeli pendingin hawa meskipun harganya agak tinggi,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Nyireh, di sini, semalam.
Katanya, harga pendingin hawa yang dijual di premisnya daripada RM700 hingga RM1, 900 seunit mengikut jenis dipilih pelanggan.
Kata Norhisham, peningkatan permintaan pendingin hawa itu bukan hanya melonjakkan jualan malah mereka tidak menang tangan untuk proses menyelenggara dan memasang pendingin hawa yang ditempah pelanggan.
“Sekarang ini saya memiliki 10 pekerja tetapi tetap tidak cukup tenaga kerja sehingga terpaksa mengupah pekerja luar,” katanya.
Sementara itu, seorang penyelenggara pendingin hawa, Ahmad Anuar Yunus, 41, berkata, cuaca panas membuka pintu rezeki buatnya apabila mampu meraih pendapatan kira-kira RM200 hingga RM300 sehari dengan mengambil upah memasang dan menyelenggara peralatan elektrik itu.
“Sejak cuaca panas ini boleh dikatakan hampir setiap hari menerima permintaan dua hingga tiga tempahan untuk memasang pendingin hawa di sekitar daerah ini.
“Jika dibandingkan dengan bulan-bulan sebelum ini, saya hanya mendapat satu atau dua tempahan dalam tempoh seminggu,” katanya. – UTUSAN










