Pencuri 112 naskhah akhbar Kosmo! diberkas - Utusan Malaysia

Pencuri 112 naskhah akhbar Kosmo! diberkas

TANGKAP layar rakaman CCTV menunjukkan dua suspek mencuri 112 naskhah akhbar Kosmo! di Taman Petani Jaya, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tindakan seorang lelaki mencuri 112 naskhah akhbar Kosmo! dalam kejadian di sebuah lokasi pengedaran akhbar itu di Taman Petani Jaya, di sini Khamis lalu mengundang padah apabila dia berjaya ditahan polis dua hari kemudian.

Suspek berusia 35 tahun itu ditahan di rumahnya di Pengkalan Lebai Man, di sini selepas polis melakukan siasatan berdasarkan televisyen litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian pada pukul 12.15 tengah malam.

Turut ditemui semula adalah keseluruhan naskhah akhbar tersebut yang belum sempat dijualnya sebagai barang terpakai.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kecurian itu dilaporkan oleh pengedar surat khabar berkenaan selepas menyedari bungkusan berisi akhbar yang baru dihantar itu hilang di hadapan premis perniagaannya.

“Pengedar itu kemudian terkejut apabila CCTV menunjukkan dua suspek menaiki motosikal mencuri akhbar berkenaan sebelum bertindak membuat laporan polis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini hari ini.

Kata beliau, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kesalahan mencuri.

“Suspek kini dalam tahanan reman selama lima hari yang bermula 20 April lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Tambahnya, polis kini sedang menjejaki seorang lagi suspek dalam kejadian itu yang dipercayai telah melarikan diri selepas mendapat tahu rakannya ditahan polis. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×