KANGAR: Pembentukan kecerdasan buatan (AI) Sandbox oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah satu usaha yang wajar dipuji.
Pembantu Timbalan Canselor Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad berkata, usaha tersebut penting untuk membina hub industri berteknologi tinggi yang berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi dan menempatkan Malaysia sebagai juara serantau dalam bidang AI berkenaan.
Katanya, kerjasama dengan beberapa syarikat teknologi terkemuka seperti NVIDIA menunjukkan kesungguhan Malaysia amnya dan KPT khususnya dalam mengukuhkan infrastruktur teknologi AI.
“Selain itu, usaha KPT dalam mewujudkan fakulti AI pertama di Malaysia iaitu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah satu langkah berani untuk memperkukuhkan kepakaran dan kemahiran dalam bidang AI di peringkat pengajian tinggi.
“Perkara ini memberi peluang kepada para pelajar tempatan dan antarabangsa untuk mendalami bidang AI secara mendalam dan menjadi pakar yang berkelayakan.
“KPT dilihat sedang melaksanakan usaha-usaha yang positif dan proaktif dalam menghadapi cabaran dan peluang yang terdapat dalam bidang AI. Langkah tersebut sangat penting bagi memastikan Malaysia tidak hanya mengikuti arus perubahan teknologi global, tetapi juga menjadi pemain penting dalam industri AI secara serantau,” katanya.
Tambah beliau, KPT juga perlu mengambil inisiatif untuk memperkukuhkan kerjasama dengan industri dan agensi kerajaan lain bagi memastikan keserasian antara kurikulum akademik dengan keperluan industri dalam bidang AI.
Katanya, hal demikian termasuklah pelaksanaan program latihan industri, penyelidikan dan inovasi yang berkaitan dengan AI, serta penubuhan pusat-pusat keunggulan AI di institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta
Ujarnya, selanjutnya, ia juga penting bagi KPT untuk memberi penekanan kepada pembangunan bakat tempatan dalam bidang AI.
“Ini termasuklah menyokong penyelidikan dan pembangunan projek-projek AI oleh pelajar dan penyelidik tempatan, memberi galakan kepada penyertaan dalam pertandingan dan acara AI antarabangsa serta menyediakan peluang-peluang pendidikan dan latihan yang berkaitan dengan AI kepada pelajar dan profesional.
“Usaha KPT dalam memajukan bidang AI adalah langkah yang perlu dan strategik untuk memastikan Malaysia kekal relevan dan bersaing dalam era teknologi yang semakin canggih ini.
“Dengan melaksanakan langkah-langkah awal dan bersepadu secara konsisten , diharapkan Malaysia dapat menjadi pusat keunggulan AI di rantau ini dan memberi manfaat kepada ekonomi dan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.-UTUSAN










