Pembangkang tuntut peruntukan hak sama rata

Pembangkang tuntut peruntukan hak sama rata

KERATAN laporan Mingguan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangkang menuntut peruntukan sama rata dengan ahli Parlimen kerajaan susulan perbincangan mengenai perkara itu Rabu ini.

Perkara itu disuarakan beberapa ahli Parlimen pembangkang dengan menegaskan, peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat adalah perkara yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, sekali gus ia perlu dilaksanakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas akan meneliti perbincangan di peringkat kerajaan dan berharap agar peruntukan diluluskan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peruntukan sama rata adalah sebahagian daripada apa yang dijanjikan dalam manifesto PH dan ia sepatutnya dilaksanakan bagi memenuhi janji mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tuntutan peruntukan oleh wakil rakyat pembangkang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Katanya, ia merupakan susulan daripada pertemuan beliau dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Parlimen pada 19 Mac lalu.

Tuan Ibrahim berkata, peruntukan tersebut adalah hak rakyat yang diwakili oleh wakil yang mereka pilih serta peruntukan tersebut dilaksanakan bagi menyuburkan amalan demokrasi dalam negara.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tuntutan sama rata kepada semua ahli Parlimen adalah hak dan bukan keperluan kerajaan bagi menentukan perkara tersebut.

“Kita perlu membawa reformasi yang benar iaitu tidak kira kerajaan atau pembangkang perlu mengagihkan peruntukan secara adil dan saksama,” katanya.

Syed Saddiq dalam masa yang sama turut bersetuju menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) seperti yang dilaksanakan ketika zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri demi kestabilan negara.

“Saya bersetuju kerana berasakan isu ini perlu diberi keutamaan iaitu meletakkan negara sebagai faktor utama.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dengan baik yang mana kerajaan hanya perlu fokus dalam melaksanakan tugas mereka, sementara pihak pembangkang pula bertindak sebagai semak dan imbang dalam memajukan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini