SHAH ALAM: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini disaran mewujudkan rumah perlindungan haiwan terbiar di setiap taman perumahan selain daripada program pemandulan yang lebih meluas.
Selain itu, PBT juga dicadang supaya mewajibkan pemaju perumahan untuk membina atau menyediakan pusat perlindungan haiwan tersebut.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, baginda tidak bersetuju dengan pendekatan ‘tangkap dan bunuh’ seperti yang dilakukan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terhadap anjing-anjing liar.
“Saya percaya banyak lagi kaedah lain yang boleh digunapakai untuk membendung masalah ini termasuk pemandulan (neuter). Sebagai Penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS) di bawah SPCA Selangor, saya mahu PBT memperinci semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan anjing-anjing terbiar ini.
“Saya pernah mencadangkan sebelum ini agar usaha-usaha memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan-haiwan terbiar ini dipergiat, menerusi kempen Create Caring and Compassionate Communities (CCC),” titahnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas baginda, kempen CCC antaranya menggariskan beberapa inisiatif utama melibatkan kerjasama di antara PBT dengan SPCA dalam mengendalikan sesi-sesi Responsible Pet Ownerships (RPO) bersama penduduk.
“Ini termasuk mendapatkan khidmat nasihat dan pemantauan daripada SPCA dan NGO sekiranya wujud keperluan untuk melupuskan haiwan-haiwan terbiar ini di atas sebab kesihatan atau sebagainya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tengku Norashikin turut memaklumkan ketika ini SPCA Selangor bersama Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dan Persatuan Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) giat mengadakan program pemandulan kucing dan anjing, ‘Potong-Royong’.
“Sejak dimulakan pada Mac 2023, sejumlah 1,626 ekor haiwan dimandulkan menerusi program ini, sebagai usaha mengurangkan populasi haiwan terbiar.
“Saya juga berpendapat sudah tiba masa untuk pihak berwajib meneliti semula Pekeliling Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bilangan 5 Tahun 2014 mengenai Tatacara Operasi Piawaian (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan agar lebih relevan dengan situasi semasa.
“Saya benar-benar berharap usaha-usaha untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja,” tegasnya. – UTUSAN










