PBT diarah kompaun individu buang sampah di tepi jalan - Kor Ming - Utusan Malaysia

PBT diarah kompaun individu buang sampah di tepi jalan – Kor Ming

NGA Kor Ming menyerahkan sumbangan baucar Hari Raya Aidilfitri kepada penerima pada Program Meriah Beraya di Angsana Mall di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan untuk mengeluarkan kompaun terhadap pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di tepi jalan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku yang membuang sampah sesuka hati sama ada melalui tingkap kenderaan atau meninggalkannya ketika berhenti berehat.

“Saya amat kesal dengan sikap segelintir individu yang sanggup membuang sampah di merata-rata tempat termasuk di sepanjang jalan tanpa belas kasihan kepada pekerja-pekerja pembersihan.

“Jadi, saya telah arahkan PBT untuk kompaun pelaku dan pastikan dia bayar. Mereka buang sampah jadi mereka perlu bertanggungjawab,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Meriah Beraya di Angsana Mall di sini hari ini.

Pada program tersebut, Kor Ming menyampaikan baucar sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 150 penerima dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang membabitkan peruntukan berjumlah RM22,500.

Mengulas lanjut beliau berkata, sikap membuang sampah merata-rata itu amat dikesali kerana menyebabkan kawasan sekitar bukan sahaja kotor malah mencacatkan pandangan.

Katanya, sampah sepatutnya dibuang di tempat sepatutnya dan bukannya mengambil jalan mudah dengan meninggalkannya di tepi jalan atau membuang melalui tingkap kenderaan.

“Kita semua pergi sekolah, belajar pendidikan sivik maka tanggungjawab semua pihak jaga kebersihan awam dan bukannya serah kepada pekerja pembersihan semata-mata.

“Kalau makan dalam kereta dan ada bungkusan, simpan dulu dalam kereta. Bila sampai di kampung halaman, barulah buang di dalam tong sampah.

“Bukannya sesuka hati buang di tepi jalan, lepas itu harap kepada pekerja kita kutip untuk mereka,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar sampah sarap yang dibuang pengguna jalan raya di bahu jalan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang bermula dari Bentong ke Lipis dan Gua Musang.

Longgokan sampah akan lebih banyak dan bertimbun termasuk najis yang dibuang pengguna di lebuh raya yang tidak mempunyai kawasan rehat dan rawat (R&R) itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN