PETALING JAYA: Usahawan wanita disaran mendapatkan perkhidmatan pengawal peribadi terutama jika mereka terdiri daripada golongan yang kerap menunjukkan gaya hidup mewah di media sosial.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pelakon dan usahawan kosmetik, Wawa Zainal berkata, ia adalah langkah keselamatan yang perlu diambil bagi mengelak menjadi sasaran jenayah rompakan.
“Sekiranya individu tersebut rasa ada keperluan untuk meningkatkan keselamatan, mereka perlu mendapatkan khidmat pengawal peribadi. Lebih-lebih lagi jika selalu tunjuk barang berharga.
“Namun begitu, saya juga tidak menafikan ada usahawan yang tidak selesa dikawal. Jadi terpulang kepada pilihan masing-masing.
“Buat masa sekarang, saya tidak rasa ada keperluan untuk ada pengawal,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurut Wawa atau Nur Hawa Zainal Abidin, 32, lagi, sepanjang bergelar usahawan, dia tidak pernah menerima ancaman keterlaluan daripada mana-mana pihak.
“Sepanjang berniaga, Alhamdulillah saya tidak pernah menerima ancaman. Begitu juga usahawan wanita terdekat yang saya kenal kenali.
“Tetapi, saya juga rasa takut dan kena selalu berjaga-jaga kerana insiden buruk boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
“Sekiranya ada usahawan di luar sana yang pernah menerima ugutan daripada individu yang dikenali atau tidak, cepat-cepat laporkan kepada polis,” tambahnya.
Turut bersetuju dengan pandangan Wawa, penyanyi dan usahawan pakej perkahwinan, Mila Jirin, 35, yang menasihati usahawan wanita agar berhati-hati menayangkan kekayaan.
“Walaupun isu tembakan baru-baru ini ada kaitan dengan isu peribadi, penting bagi kita untuk ambil iktibar.
“Memang bagus kita tonjolkan sisi kejayaan usahawan wanita untuk memberi inspirasi, namun jangan terlalu berlebihan menunjukkan segala yang kita miliki di media sosial atas faktor keselamatan.
“Saya risau kerana sudah menjadi trend di media sosial untuk memuat naik semua perkara. Kita perlu bijak letakkan had. Sehingga kini, saya tidak pernah berkongsi lokasi di mana saya demi keselamatan saya dan anak,” katanya.
Terdahulu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Ahad lalu. –UTUSAN










