Menetap di Australia sejak mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Mohd. Jeffry Wain Wright 16 tahun lalu, penyanyi yang hits dengan lagu Selembut Sutera, Nur Fatimah, mengakui ada perbezaan meraikan Aidilfitri di luar negara berbanding di tanah air sendiri.
Katanya, kebiasaannya pada hari raya, suasananya tidak serupa sebagaimana di tanah air kerana suaminya bekerja pada hari lebaran.
Pun begitu, kata Fatimah, dia tetap memasak lauk pauk tradisional raya seperti pulut kuning dan rendang ayam serta acar nenas memandangkan itu adalah makanan kegemarannya dan suami.
“Kemeriahan akan lebih terasa kalau sambut beramai-ramai sama ada di kedutaan Malaysia atau bersama kawan-kawan di sini. Dapat juga menggayakan baju raya masing-masing serta dapat menikmati lebih banyak makanan, lauk-lauk tradisional dan biskut raya.
“Saya jarang buat biskut raya sebab kami kurang makan makanan manis. Lagi pun hidup berdua sahaja. Takut membazir buat banyak-banyak tapi tak makan. Setiap kali raya, saya paling rindukan kemeriahan bersama keluarga, mak, abah, adik-beradik, keriuhan anak-anak buah.
“Paling saya rindukan adalah masakan ibu iaitu ketupat daun palas dan rendang tok, masakan orang perak. Saya tak berapa pandai buat semua itu. Kalau balik Malaysia ibu akan buatkan khas untuk kami berdua. Dapatlah melepas rindu,”katanya.
Ditanya mengenai pengertian Aidilfitri buatnya, kata penyanyi ini, tentunya rasa kasih sayang sudah cukup untuk menggambarkan keindahan sambutan hari raya.
“Pengertian hari raya bagi saya adalah kasih sayang. Ramai ahli keluarga ambil cuti demi untuk berkumpul bersama keluarga tercinta. Sewaktu saya kecil selalu dapat bermalam di rumah arwah nenek (sebelah ibu) dan nenek dan datuk sebelah ayah.
“Saya dan adik beradik dapat perhatian dan kasih sayang mereka. Bila raya, kanak-kanak selalu diutamakan dan dimanjakan. Saya dapat merasai semua itu. Saya terlalu rindu dan sayang mereka semua.
“Saya juga rindukan arwah abang saya yang meninggal dunia akibat sakit pankreas dua tahun lalu. Kini saya faham orang yang ditinggalkan sangat terseksa kerana rindu,”katanya.
Dalam pada itu, Fatimah turut berkongsi mengenai perkembangan terbaharu yang mana kini dia dan suami telah berpindah ke Sydney setelah menetap selama 11 tahun di Canberra, Australia.
“Sebelum berkahwin, saya pernah duduk di Sydney selama 3 tahun kerana belajar. Alhamdulillah semuanya telah dipermudahkan oleh Allah. Senang saya nak berulang- alik ke Malaysia (ada penerbangan sehala ). Kalau dari Canberra itu ambil masa sikit.
“Dari segi kerjaya, saya masih aktif menulis lagu bersama komposer-komposer di Malaysia. Aktif menyanyi bersama live band di beberapa tempat di Australia. Saya juga akan hasilkan single baharu lepas raya nanti.
“Ia adalah kolaborasi antara komposer dan penulis lirik terkenal Sharon Paul dan Shah Shamshiri,”katanya.










