Najib percaya Blackstone milik Raja Abdullah

Najib percaya Blackstone milik Raja Abdullah

Najib Tun Razak hadir bagi sambung perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama ini mempercayai bahawa Blackstone Asia Real Estate Partners (Blackstone) adalah dimiliki atau dikawal oleh kerajaan Arab Saudi dan Raja Abdullah.

Menurut Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan ­Rasuah Malaysia (SPRM), Penguasa Kanan Nur Aida Arifin, perkara itu dimaklumkan oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu ketika dirakam percakapannya oleh agensi terbabit.

Selain itu, Nur Aida turut bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa Najib tidak pernah ditunjukkan sebarang dokumen oleh agensi terbabit berhubung pemilikan Blackstone sewaktu disoal siasat oleh agensi itu.

Dalam keterangan beberapa saksi pendakwaan sebelum ini menyatakan Blackstone ialah sebuah syarikat yang dikatakan dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low, melalui rakan sekutunya Tan Kim Loong atau Eric Tan.

Blackstone dikatakan ditubuhkan Jho Low dengan menggunakan nama menyerupai firma ekuiti hartanah persendirian, Blackstone Real Estate dalam konspirasi mengaut berjuta-juta dolar daripada 1MDB.

Nur Aida yang juga saksi ke-49 pendakwaan berkata demikian ketika menjawab soalan balas peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin sambil dirujuk kepada beberapa transaksi di antara Blackstone dan akan peribadi Najib berakhir 9694.

Pada perbicaraan sebelum ini, penganalisis daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd. Roslan memberi­tahu Mahkamah Tinggi bahawa akaun peribadi Najib telah menerima kemasukan AS$30 juta (RM90.9 juta) daripada Blackstone di antara 30 Oktober dan 19 November 2012.

Jumlah tersebut dikreditkan ke akaun Najib daripada akaun Standard Chartered Bank, Singapura atas nama Blackstone dan boleh dikesan daripada bon yang dikeluarkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL) pada 2012.

Berdasarkan laporan analisis setebal 76 muka surat yang disediakan Adam Ariff, jejak kewangan menunjukkan sebahagian daripada RM2.28 bilion yang dipindah keluar dibawa masuk semula ke negara ini dan berakhir di dua akaun peribadi Najib.

Sementara itu, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan ketika memberi keterangan menyatakan, Jho Low pernah memintanya agar tidak risau mengenai jumlah wang yang besar memasuki akaun Najib dan turut mendakwa dia (Jho Low) mempunyai bukti menunjukkan apa yang dilakukan adalah mengikut permintaan, kehendak dan dalam pengetahuan Najib. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×