Nahas TLDM: Tubuh lembaga siasatan tepat, jangan berlengah - Pas

Nahas TLDM: Tubuh lembaga siasatan tepat, jangan berlengah – Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusaan Kementerian Pertahanan untuk menubuhkan lembaga siasatan nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut, Perak adalah langkah tepat dan wajar disegerakan tanpa berlengah, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, Pas mengalu-alukan tindakan pantas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berhubung peristiwa tersebut termasuk membatalkan sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM Ke-90 yang dijadualkan Jumaat ini dan digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat.

“Pas juga menyambut baik jaminan beliau untuk bukan sahaja membantu menguruskan jenazah mangsa, tetapi juga mengurus semua manfaat serta faedah-faedah yang sewajarnya diterima oleh balu dan keluarga mangsa bagi menjaga kebajikan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pas turut merakam rasa sedih dan terkejut atas insiden kemalangan helikopter yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM yang berlaku ketika majlis raptai lintas hormat sempena Hari HUT TLDM semalam.

Takiyuddin berkata, kehilangan serentak anggota seramai itu yang rata-rata berusia bawah 40 tahun adalah kerugian besar kepada pasukan, negara serta seluruh rakyat Malaysia dan lebih-lebih lagi keluarga mangsa terbabit.

“Pas mengucapkan takziah kepada keluarga semua anggota terlibat dengan harapan mereka akan menemui kekuatan untuk mengharungi kehilangan ini dengan tabah dan sabar, selain mendoakan kesejahteraan dan kebaikan kepada mangsa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam, dua helikopter milik TLDM jenis Fennec dan HOM-AW139 bertembung di udara sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut ketika melakukan raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 sempena Hari Terbuka Armada.

Mereka yang terkorban dalam pesawat HOM-AW139 dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Lt Kdr) Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Pegawai Waran (PW) II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; PW II TNL Noorfarahimi Mohd. Saedy; Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar (Penumpang) dan Laskar Kanan I JJM Joanna Felicia anak Rohna.

Dari pesawat Fennec dikenal pasti Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T. Sivasutan dan PW II TMK Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi.

Komander Muhammad Firdaus Ramli dan Komander Muhammad Amir Mohamad masing-masing merupakan Pegawai Memerintah Squadron 502 dan 503 yang menyertai upacara tersebut. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN