SERIAN: Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian seorang daripada kru wanita yang terkorban dalam insiden pertembungan dua buah helikopter di Lumut pada Selasa lalu, Laskar Kanan (LK) Joanna Felicia Rohna.
Mayat mendiang selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kristian di Kampung Engkaroh kira-kira pukul 11.30 pagi ini.
Upacara pengebumian yang dihadiri ratusan orang itu diselubungi suasana pilu terutama dua orang anak mendiang yang bertanya di mana ibu mereka.
Mayat Joanna diterbangkan pulang ke Kuching menggunakan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia dan tiba di pangkalan udara Kuching dari Ipoh, Perak, pada 11.54 malam Rabu dan dibawa ke Kampung Engkaroh Tebakang dan tiba kira-kira pukul 2.08 pagi ini.
Turut menghadiri upacara pengkebumian pagi ini ialah Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot, Panglima 1 Div. Mej Jen Datuk Fauzi Kamis dan mantan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw.
Penyerahan bendera kepada keluarga mendiang dilaksanakan oleh wakil TLDM, iaitu Laksamana Pertama Ir Franklin J.Joseph.
Franklin berkata, urusan bantuan pengurusan pengebumian mendiang selesai dilaksanakan oleh pihak RNO Kuching dengan dibantu oleh 1 Divisyen.
Kataya, kumpulan bantuan pengebumian adalah seramai 78 anggota yang terdiri daripada 17 pegawai dan 61 anggota lain-lain pangkat beserta 11 kenderaan tentera dan peralatan tentera.
Riot ketika ditemui pemberita berkata pemergian Joanna serta sembilan yang lain merupakan hilang besar kepada negara terutama pasukan keselamatan negara.
“Bagi pihak keluarga mendiang (Joanna) saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana membantu menguruskan jenazah dan upacara pengkebumian jenazah mendiang Joanna,” kata Riot
Sementara itu, suami Joanna, Haslie Ali ketika ditemui hilang kata-kata kerana terlalu sedih dengan pemergian mengejut isterinya yang merupakan ibu kepada dua orang anak. – UTUSAN










