KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) raptai persembahan penerbangan ekoran nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak baru-baru ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebuah jawatankuasa akan dibentuk merangkumi semua pihak termasuk syarikat helikopter bagi mengkaji dan meneliti mengenai SOP.
Menurut beliau, kerajaan ingin tahu mengenai nahas yang berlaku pada Selasa lalu itu secara terperinci kerana tidak mahu ada apa-apa perkara akan diketepi dan disorok.
“Kita akan ambil pengajaran, kita akan tunggu laporan siasatan dan dari situ kita akan lakukan perkara-perkara yang wajar dilakukan.
“Jawatankuasa akan dibentuk dan mereka akan tentukan siapa lagi boleh bantu, kita mesti nak tahu sejelas-jelasnya bagaimana boleh berlaku jadi apa sahaja boleh bantu,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM, di sini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman.
Terdahulu, media melaporkan, dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut itu mengakibatkan 10 anggotanya terkorban.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, beliau enggan memberi penekanan mengenai soal bantuan yang disalurkan kepada waris-waris 10 anggota yang terlibat itu.
“Apa sahaja bantuan dan sumbangan dalam bentuk wang ringgit tidak ada gantinya untuk mereka yang sudah meninggal dunia. Jadi sebab itu saya tak nak cakap mengenai perkara itu.
“Tetapi percayalah bahawa kita sedang uruskan dengan baik perkara itu, bila sampai masanya kita akan maklumkan pada keluarga atau waris dan mungkin kepada khalayak umum,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi dua buah helikopter bertembung itu.
Malah, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga akan menyalurkan beberapa inisiatif untuk membantu meringankan beban keluarga mangsa yang antaranya adalah melibatkan sumbangan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM1,000 setiap seorang dari keseluruhan 21 anak mangsa korban yang masih bersekolah.- UTUSAN










