Muhsin Nadzli pernah jadi tauke ikan, tekad bergelar pelakon - Utusan Malaysia

Muhsin Nadzli pernah jadi tauke ikan, tekad bergelar pelakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA namanya sedang meningkat naik menerusi drama bersiri Bunga’s Secret Garden pada tahun 2021, pelakon, Muhsin Nadzli harus akur apabila kerjayanya sedikit merudum kerana dunia tiba-tiba dilanda pandemik selama dua tahun.

Perintah Kawalan Pergerakan serta tatacara pengendalian piawaian yang ketat memberi kesan kepada industri hiburan negara. Beberapa tawaran lakonan Muhsin juga dibatalkan begitu sahaja.

Walaupun kecewa, Muhsin enggan mengalah sebaliknya mencari cara untuk meneruskan kehidupan. Ketika itulah abang kepada pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim, Haziq Nadzli ini berjinak-jinak menjalankan perniagaan menjual ikan dan barangan basah di kawasan rumah.

“Macam-macam kerja saya buat waktu itu. Selain jual air, saya juga jadi penjual ikan. Saya akan beli ikan dan juga makanan laut daripada abang saudara di Selayang. Kemudian saya akan jual berdekatan kuarters Hospital Kuala Lumpur.

“Saya buka meja setiap petang untuk jual. Pelanggan saya kebanyakannya jururawat yang baru pulang daripada kerja. Pendapatan juga ikut hari, kalau awal minggu biasanya ramai yang beli.

“Waktu saya berniaga, ada juga yang tegur dan mengenali saya. Tapi mereka faham, ketika itu kita semua sedang mencari pendapatan sampingan,” katanya.

Jejaka berusia 28 tahun ini mengakui, adakalanya dia merasakan hasratnya untuk bergelar seorang pelakon begitu sukar.

Namun anehnya, ketika mahu berputus asa, pasti ada sahaja tawaran diterima seolah-olah enggan membuatnya mengalah.

“Waktu itu saya fikir, mungkin cita-cita saya sejak di bangku sekolah untuk bergelar pelakon sudah terkubur. Saya bersedia untuk mencari pekerjaan tetap seperti menjadi anggota polis.

“Tapi, tiba-tiba ada sahaja tawaran datang. Saya pernah dipanggil untuk menjadi pengacara di beberapa program.

“Cuma malangnya, kerana ia bergantung kepada projek, maka kontrak yang ditawarkan tidak lama, sekadar enam bulan,” katanya.

Muhsin yang kini sibuk terlibat dalam penggambaran filem Harimau Malaya dan drama Khunsa juga tidak menyangka rezeki lakonannya datang dalam pelbagai cara.

“Sepanjang saya bekerja, saya cuba berikan yang terbaik tak kiralah lakonan mahupun cara saya membawa diri di set.

“Rupanya ada tawaran lakonan yang datang kerana nama saya diberikan oleh jurusolek di set penggambaran kepada pengarah.

“Orang sekeliling saya terutamanya pelakon Adam Lee juga meminta saya agar jangan berputus asa,” katanya.

Muhsin yang kini bernaung di bawah agensi bakat Prodigee Asia Talent, Webtvasia berharap bakatnya akan dapat dilihat oleh lebih ramai pengarah.

“Idola saya ialah Alif Satar. Saya ingin menjadi seorang selebriti serba boleh sepertinya tapi dengan cara saya sendiri,” katanya menutup perbualan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya