SEMUA pemuzik yang mendapat manfaat daripada budaya independen perlu berterima kasih kepada punk.
Semua pemuzik, tak kira genre apa yang awak main. Sebab muzik independen, yang kelahirannya dibidani Buzzcocks, Martin Hannett dan Richard Boon di Bolton, England (juga semangat The Saints dan Fatal Records di Brisbane, Australia), ialah produk budaya punk.
Punk bukan sekadar genre muzik. Lebih besar lagi, ia sebuah cara hidup. Dan di tangan Ian MacKaye, ia menjadi sebuah falsafah yang setaraf stoicism, socialism atau apa saja -ism -ism lain.
Ia menggariskan cara fikir manusia mengemudi kehidupan. MacKaye yang mendirikan Fugazi, Minor Threat dan Dischord Records ada fahaman yang jelas tentang punk.
Baginya, punk ialah ruang kebebasan. Satu kawasan yang idea baharu boleh dibentang tanpa tapisan atau – ini penting – diseleweng kemahuan mencari untung. Punk sebagai sebuah ruang kebebasan mengizinkan idea baharu untuk diperkenal dan disambut.
Bagi MacKaye, ini sebuah kurnia yang perlu dijaga. Saya berpendapat sama.
BUAT DUIT DENGAN MUZIK
Tapi ruang kebebasan boleh jadi luas atau sempit. Ketika ini, saya fikir, faktor penentu luas sempitnya ialah peranan wang.
Sepekat mana karya muzik perlu dianggap sebagai bahan dagang atau pengkarya menganggap diri sebagai pedagang.
Saya teringat pengalaman dua kali mendengar ayat sama dari dua manusia berbeza, keduadua mereka datang dari kugiran sama.
Kata mereka, mereka memang sengaja tak mahu buat duit dengan muzik. Berada di sekeliling pemuzik independen selama hampir empat tahun buat saya tersentak dengan katakata itu.
Kalau mereka cakap, mereka tahu memang tak boleh buat duit dengan muzik, saya boleh faham lagi.
Tapi mereka kata, memang sengaja tak mahu buat duit. Melihat betapa besarnya kugiran mereka buat saya yakin, kata-kata itu ada isi.
Cuma saya belum boleh faham maksudnya. Jadi, ia dibiar terapung dalam kepala, menanti pengetahuan baharu yang akan menjadikannya bermakna.
Akhirnya, pengetahuan itu datang melalui wawancara MacKaye bersama majalah Huckmag.
Apa yang saya faham, MacKaye kata, pencarian untung boleh merosakkan ruang kebebasan yang dikurniakan fahaman punk (atau pada tahap ini, boleh disamakan dengan muzik independen). Kata MacKaye: “Kalau kita tak risau tentang nak jual barang, kita boleh betul-betul berfikir”.
OTAK BISNES, OTAK SENI
Membaca ayat itu buat saya terimbas wajah kawan-kawan yang sedang menggerakkan kugiran.
Mereka bukan saja perlu jadi kreatif menghasilkan seni, malah berfikir tentang pemasaran dan penjualan produk.
Sebab dunia sekarang gila dengan nombor. Nombor strim, nombor view, nombor follower – ini semua validasi wajib yang perlu diambil kira. Kalau mahu relevan, kita perlu nombor.
Tapi ini wajib di sisi siapa? Saya yakin keperluan pemasaran yang berada dalam kepala kawan-kawan saya ini menyakitkan roh kreatif mereka sebagai pengkarya; kalau tak banyak, sedikit. Dan ini tidak adil.
Sebab beban untuk memikirkan semua sendiri hanya ada pada artis independen. Mereka yang dapat sokongan syarikat rakaman dan korporat gergasi boleh bayar orang untuk buat semua benda itu.
Mereka boleh fokus berkarya. Kugiran independen juga boleh lantik pengurus atau penghebah (publicist) sendiri tapi itu memerlukan wang.
Kalau dapat khidmat percuma pun, tak mungkin peranannya boleh sama hebat dengan pengurus dan penghebah profesional.
Dalam dunia yang ideal, kawankawan saya tak perlu berfikir berat tentang hal-hal lain. Fokus pada karya dan melikatkan jus kreatif dalam kepala.
Tapi dunia ideal hanya di syurga, mungkin. Mengimbas pengalamannya dengan Dischord Records, MacKaye melihat ia sebagai usaha sekumpulan kawan yang mahu bikin muzik untuk diri sendiri dan kawan terdekat.
Tiada tekanan untuk tular, popular atau jadi kaya. Tapi rezeki memihak mereka. Nama Fugazi, Minor Threat, The Faith malah kugiran awal MacKaye, Teen Idles menjadi wajah punk dan hardcore Washington dan jualan album mereka mencecah ratusan ribu.
Tapi, untuk mengulang keajaiban 40 tahun lalu memang sukar. Sebab itu, kugiran independen sekarang ditekan untuk berdagang dan menjual.
Mereka perlu berfikiran bisnes, selain wajib berfikiran seni.
PENDENGAR BERDIFIKRI
No Good mengeluarkan EP ceKELAT dengan promosi yang minimal. Hanya beberapa hantaran Instagram dalam tempoh seminggu sebelum penerbitan, selain pengumuman bersahaja Abeyed dalam Korek Fizikal. Pastilah ada orang cakap, mereka No Good, peminat ramai, mampulah buat begitu.
Saya faham. Kugiran baharu yang belum ada nama besar seperti No Good perlu berusaha lebih, saya terima.
Cuma saya membayangkan, kalau seluruh peminat muzik independen lebih aktif mencari muzik dan tak perlukan hebahan besarbesaran untuk tahu ada muzik sedang dihasilkan, bukankah itu akan memberi ruang kebebasan yang lebih besar kepada pengkarya?
Kalau peminat muzik tidak begitu terpaku dengan permainan algoritma dan mengharapkan kugiran sendiri buat bising tentang karya masing-masing, bukankah lapangan lebih terbuka dengan karya baharu yang di luar lazim?
Kita mungkin tak dapat capai situasi ideal seperti yang saya sebut awal tadi tapi dengan pendengar yang berdifikri (berdiri di atas fikiran sendiri), mandiri dan aktif menggali, kita boleh menghampirinya.
Kugiran tetap dengan tanggungjawab mereka, buat promosi semampu boleh. Cuma, pendengar boleh memainkan peranan memperluas ruang kreatif dalam fikiran pemuzik untuk bantu mereka menghasilkan karya yang lebih baik.
Kurangkan beban pemasaran dalam otak kreatif itu. Fasa awal meneroka muzik independen dahulu, saya yang perlu perah keringat cari kugiran yang digemari.
Saya tak fikir kugiran independen pada 20 atau 15 tahun lalu terbeban dengan pemasaran seperti kugiran sekarang.
Pandangan saya tentang pemasaran vs kreatif ini belum matang, saya sedar. Tapi ia perlu diluahkan sekarang untuk saya nilai semula dalam masa terdekat.
Saya, seperti anda yang keliru tentang apa yang saya cuba sampaikan ini, sedang mencari jawapan. Moga berjumpa tak lama lagi.










