GEORGE TOWN : Aplikasi mudah alih atau e-perkhidmatan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) iaitu PEARL-One Touch Penang kini telah ditambah baik dengan beberapa ciri-ciri baharu iaitu e-Aduan, e-Tempahan, penyewaan LinkBike serta pembayaran dengan menggunakan imbasan kod QR peniaga (integrasi DuitNow QR).
Menurut jurucakap MBPP, ciri-ciri baharu itu diyakini dapat memudahkan penduduk Pulau Pinang secara khusus dan pelancong yang berkunjung ke negeri ini.
Katanya, ciri seperti e-Aduan sebagai contoh diperkenalkan bagi membolehkan orang ramai membuat aduan serta memberi cadangan kepada MBPP dengan lebih cepat dan mudah.
“Selain daripada laman portal rasmi MBPP, orang ramai diberi satu lagi pilihan baru untuk mengajukan sebarang aduan dan cadangan terus kepada pihak Majlis melalui ciri e-Aduan dalam aplikasi PEARL-One Touch Penang.
“Selain itu, satu lagi ciri baru iaitu ciri e-Tempahan dalam aplikasi PEARL-One Touch Penang memudahkan penduduk Pulau Pinang untuk membuat tempahan kemudahan milik MBPP seperti fasiliti sukan, dewan serba guna, dewan acara, taman dan sebagainya.
“Pengguna boleh membuat bayaran secara terus dengan selamat melalui aplikasi PEARL. Melalui e-Tempahan juga, pengguna boleh mengurus tempahan, memohon untuk pembatalan dan mengemukakan permohonan balik deposit dengan mudah dan cepat,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, jurucakap tersebut berkata, untuk ciri penyewaan LinkBike pula, pengguna boleh membuat penyewaan basikal LinkBike dan membuat bayaran melalui PearlPay (eWallet) di mana kini terdapat 29 stesen basikal LinkBike di sekitar Pulau Pinang.
“Ciri DuitNow QR juga kini diperkenalkan dalam aplikasi PEARL-One Touch Penang kerana dengan perkembangan pendigitalan kewangan, integrasi DuitNow QR antara lain akan memudahkan pengguna dalam proses urus niaga.
“Dengan menggunakan PearlPay, pengguna hanya perlu mengimbas kod QR peniaga untuk membuat bayaran dan ini secara tidak langsung dapat membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat terutamanya dalam menyokong peniaga dan penjaja tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, MBPP mengalu-alukan cadangan daripada orang awam untuk menambahbaikkan lagi aplikasi PEARL-One Touch Penang semasa tempoh prapelancaran ciri-ciri baharu ini dengan mengimbas kod QR yang terdapat di dalam poster.
“Pada masa ini, PEARL-One Touch Penang telah menyediakan pelbagai e-perkhidmatan dalam satu aplikasi, antaranya semak dan bayar bil-bil MBPP, pembayaran bil-bil utiliti, perkhidmatan kecemasan, kedai atas talian, maklumat pengangkutan rendah karbon dan infrastruktur seperti LinkBike, Bas Rapid dan Stesen pengecas EV dan lain-lain lagi.
“Perancangan jangka panjang Majlis bagi aplikasi ini adalah memastikan kesemua e-perkhidmatan MBPP boleh diakses kepada umum melalui aplikasi mudah alih ini secara berfasa,”katanya.-UTUSAN










