Majlis Tindakan OKU Negeri Terengganu diwujudkan - Utusan Malaysia

Majlis Tindakan OKU Negeri Terengganu diwujudkan

MALIAMAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mewujudkan Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu (MTOT) untuk membela nasib dan menjaga kebajikan golongan itu pada 6 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, majlis tersebut dianggotai wakil agensi kerajaan, pakar perubatan dan ahli akademik yang berkaitan dengan OKU.

“Antara fungsi dan peranan majlis ini adalah untuk menyelia pelaksanaan dasar negara, dasar negeri dan pelan tindakan yang berhubungan dengan OKU serta membuat syor kepada kerajaan mengenai perkara yang
berkaitan dengan OKU seperti sokongan, penjagaan, perlindungan dan rehabilitasi,” katanya .

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ridzuan Hashim (Pas-Buluh Gading) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri bagi membantu golongan OKU di Terengganu dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Berdasarkan data Sistem Maklumat OKU,
terdapat 34,827 OKU didaftarkan di Terengganu sehingga 31 Mac 2024.

Daerah Kuala Terengganu mencatatkan jumlah OKU tertinggi iaitu 11,002 orang, diikuti Besut seramai 5,553 orang, Kemaman (5,242), Dungun (4,537), Marang (3,693), Hulu Terengganu (2,607) dan Setiu (2,193).

Masalah pembelajaran adalah kategori OKU tertinggi yang didaftarkan iaitu seramai 15,390 orang diikuti OKU fizikal seramai 9,664 orang, penglihatan (2,952), pendengaran (2,556), mental (2,513), pelbagai (1,564) dan pertuturan (187).

Mengulas lanjut, Maliaman berkata, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Bengkel Pemulihan Kebajikan Marang bagi memberi latihan kemahiran dan pemulihan kepada OKU khususnya golongan muda yang keciciran dalam pelajaran.

“Kita telah memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta pada tahun 2023 dan RM1.1 juta pada tahun ini bagi perbelanjaan mengurus dan pengoperasian bengkel tersebut.

“Beberapa kursus disediakan seperti kimpalan, pertukangan kayu dan perabot, jahitan, masakan dan pembuatan pagar dawai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN