PETALING JAYA: Sikap mahu menunjukkan `kekayaan’ semasa musim perayaan mendorong seseorang itu berbelanja di luar kemampuan sehingga sanggup berhutang.
Pengerusi Pengasas dan Mantan Presiden Lembaga Pelindung Dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Dr. Lee Nan Sang berkata, seseorang individu yang ada sikap itu suka mempamerkan pelbagai alatan, makanan dan memakai pakaian yang serba mewah, iaitu di luar kemampuan sebenar.
Beliau berkata, sikap itu menyebabkan perbelanjaan individu dan keluarganya meningkat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadikan persiapan musim perayaan sebagai `pesta perbelanjaan’ dengan membeli apa sahaja meskipun ia di luar kemampuan sebenar.
“Jangan anggap musim perayaan sebagai ‘pesta perbelanjaan.’ Walaupun harga barangan adalah ‘harga promosi’, pengguna harus mengambil perhatian yang lebih untuk mengenal pasti sama ada harga yang dibayar itu betul-betul harga promosi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid dilaporkan berkata, sikap terlalu teruja berbelanja boleh ‘makan diri’ jika masyarakat tidak berbelanja secara berhemat dan membeli barangan yang bukan keperluan.
Nan Sang berkata, masyarakat perlu bijak berbelanja menjelang musim perayaan.
“Beli ikut kemampuan dan jangan terlampau berbelanja. Beli yang perlu sahaja, jangan suka mengikut perasaan hanya kerana harga promosi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan, sikap berbelanja secara berlebihan harus dibendung kerana ia boleh menyebabkan orang ramai berhutang dan mengalami masalah kewangan yang serius pada masa hadapan.
Menurutnya, pelbagai faktor mendorong seseorang itu berbelanja secara berlebihan antaranya, pengaruh keluarga, rakan, pempengaruh.
“Selain itu, kemudahan kredit yang mudah didapati terutama melalui platform dalam talian dan pelbagai skim pembiayaan seperti ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ turut meningkatkan tabiat itu,” katanya. – UTUSAN











