Kos ambil pelarian bekerja lebih murah

Kos ambil pelarian bekerja lebih murah

Pelarian dari Rohingya yang berada di negara ini jika diberi peluang untuk bekeja secara sah di negara ini dapat menjimatkan kos majikan dalam pengambilan pekerja asing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 70 peratus atau 134,000 daripada 186,490 pelarian termasuk pemohon suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) berpotensi untuk bekerja sekiranya mereka dibenarkan mengisi kekosongan tenaga kerja dalam sektor tertentu.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, data UNHCR menyaksikan terdapat kira-kira 52,300 kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang tidak akan diambil bekerja kerana bawah umur.

Oleh itu, katanya, pelarian dan pemohon suaka politik yang berumur 18 tahun ke atas boleh diambil bekerja mengikut kesesuaian mereka serta apa yang diperlukan majikan.

“MEF menyokong dan sedang bekerjasama dengan UNHCR untuk mengumpul data terperinci mengenai pelarian dan pemohon suaka politik sebagai persediaan untuk memudahkan penyesuaian dengan keperluan majikan.

“Ia juga sebagai persediaan awal dengan harapan kerajaan akan membenarkan pelarian dan pemohon suaka politik untuk dibenarkan bekerja di sektor formal,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Data UNHCR menyaksikan, pelarian termasuk pemohon suaka di negara ini sehingga Januari lalu berjumlah 186,490 orang dengan Myanmar paling ramai 163,630 orang.

Baki kira-kira 22,860 orang merupakan pelarian dan pemohon suaka dari 50 negara seperti Pakistan, Yemen, Afghanistan, Somalia dan Syria yang melarikan diri dari peperangan dan penganiayaan.

Pada 17 Mac lepas, Mingguan Malaysia melaporkan, pelarian di negara ini akan dibenarkan bekerja bagi mengisi kekosongan tenaga kerja dalam sektor tertentu, selepas kajian terperinci dilakukan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya kini bekerjasama dengan UNHCR bagi melaksanakan pengumpulan data, pemetaan lokasi dan pengesahan jumlah sebenar pelarian sebelum kebenaran kerja dapat dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, membenarkan pelarian di negara ini untuk bekerja di sektor formal sedikit sebanyak melegakan kekurangan buruh di Malaysia.

Katanya, ini kerana pelarian pada masa ini tidak dibenarkan diambil bekerja kerana mereka tidak mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikeluarkan pihak berwajib.

“Kebanyakan pelarian dan pemohon suaka politik yang memegang kad UNHCR berkemahiran dan ada sesetengah mereka adalah profesional serta mempunyai kemahiran tinggi,” katanya.

Kata beliau, pelarian dan pemohon suaka politik boleh diambil bekerja di pelbagai sektor seperti pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan seperti hidangan makanan serta peruncitan.

“Sekiranya pelarian dan pemohon suaka politik dibenarkan untuk bekerja, mereka akan dapat meningkatkan pendapatan mereka dan mengurangkan masalah sosial. Mereka juga dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syed Hussain berkata, mengambil pelarian yang mempunyai kad UNHCR yang sah adalah jauh lebih murah berbanding membawa masuk pekerja asing baharu kerana majikan tidak perlu membayar kos penerbangan dan kos-kos sampingan lain yang perlu dibayar di negara asal.

“Ini kerana majikan dikehendaki membayar levi untuk setiap pekerja asing yang mereka bawa masuk, di samping bayaran visa, bon keselamatan dan yuran pemprosesan imigresen.

“Kos-kos lain yang perlu ditanggung majikan untuk mengambil pekerja asing adalah insurans, pemeriksaan kesihatan dan pengangkutan.

“Selain itu, pelarian telah berada di Malaysia untuk jangka waktu yang lama dan mereka telah biasa dengan budaya, bahasa dan cara bekerja di Malaysia. Jika pelarian dibenarkan bekerja, maka mereka tidak ada masalah berkomunikasi dalam Bahasa Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi mengelakkan lambakan pengabaian dan kes buruh paksa jika pelarian dibenarkan bekerja.

Malah, katanya, cadangan itu juga berisiko mengancam keselamatan setempat kerana mereka tidak mempunyai rekod latar belakang sama ada buruk atau baik.

“Lebih baik buat kajan itu. Ia lebih berfaedah daripada buat perkara yang memungkinkan kemarahan pekerja tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN