ALOR SETAR: Petani mendakwa kenaikan harga benih padi RM9 hingga RM13 bagi varieti CL220 tidak seimbang berbanding harga lantai belian padi yang hanya RM1,300 per tan metrik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Petani yang mengusahakan sawah di kawasan MADA, Che Ani Mat Zain berkata, para pesawah masih menanggung kos input padi yang tinggi ketika ini.
Menurut beliau, kerajaan sewajarnya menetapkan harga lantai belian padi melepasi sekurang-kurangnya RM1,500 per tan metrik agar dapat diseimbangkan dengan kos input seperti benih, racun dan sewa jentera.
“Memang trend pembelian padi oleh kilang kini ada yang mencecah sehingga RM1,800 atau RM1,850 tan metrik tetapi itu bukan harga lantai yang menyebabkan bila-bila masa sahaja ia boleh turun ke paras terendah.
“Sedangkan pesawah telah mengeluarkan modal yang besar untuk membeli benih padi pada harga RM58 bagi kampit 20 kilogram (kg), itu belum termasuk kos-kos lain yang turut meningkat,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, petani seharusnya memahami bahawa kenaikan antara RM9 hingga RM13 harga runcit benih padi tidak dapat dielak apabila berlaku kenaikan harga belian padi yang diumumkan kerajaan sebelum ini.
Kenaikan RM100 harga lantai belian padi daripada RM1,200 per tan metrik diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 13 Oktober tahun lalu ketika pembentangan Belanjawan 2024.
Mengulas lanjut, Che Ani berkata, kenaikan harga belian padi kepada RM1,500 per tan metrik dianggap jumlah yang munasabah buat masa ini bagi memastikan kelestarian pesawah dalam menyediakan makanan ruji negara itu.
“Kami sebenarnya tidak mempertikai kenaikan benih padi itu kerana berpandangan ia sebahagian daripada usaha membantu pesawah meraih pendapatan lebih baik melalui jualan beras kelak
“Tetapi apa yang kita harapkan adalah naikkan juga harga lantai belian padi agar tidak ada lagi pesawah yang cukup-cukup makan selepas ditolak kos dan pinjaman mengerjakan sawah ketika musim menuai padi kelak.
“Mungkin ada yang akan cakap benih padi naik RM13 sahaja tapi harga belian padi naik sehingga RM100. Di atas kertas memang seronok melihat angka itu tetapi hakikatnya petani sahaja yang merasainya seperti padi tidak menjadi yang sudah tentu kami terpaksa tanggung ruginya nanti,” katanya. – UTUSAN










