Kontraktor didakwa guna penyata bank palsu - Utusan Malaysia

Kontraktor didakwa guna penyata bank palsu

YUNUS Abdullah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas lima pertuduhan pemalsuan dokumen dalam permohonan tender pembersihan pada tahun 2016 dan 2017. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas lima pertuduhan melakukan pemalsuan dokumen dalam permohonan tender pembersihan pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, Yunus Abdullah, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, bapa kepada empat anak itu secara curang didakwa menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank bagi tarikh 31 Mei 2017, 31 Jun 2017 dan 31 Julai 2017 milik Lembah Larut Interprise di mana dia mempunyai sebab untuk percaya bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Bagi pertuduhan itu, lelaki terbabit telah mengarahkan Muhammad Sofi Salleh, 33, untuk meminda penyata akaun bank tersebut bagi permohonan Tender Perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) ke sekolah dan institusi pendidikan bagi Zon 13 Daerah Kerian di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

Ketiga-tiga perbuatan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian di Parit Buntar pada September 2017.

Bagi dua pertuduhan berasingan pula, tertuduh secara curang didakwa menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun Maybank bagi tarikh 31 Mei 2016 dan 30 Jun 2016 milik Mega MH Resources dengan mengarahkan Muhammad Sofi untuk meminda penyata akaun bank berkenaan.

Pindaan itu juga bagi permohonan Tender Perkhidmatan KBK ke sekolah dan institusi pendidikan bagi Zon 26 Daerah Larut, Matang dan Selama di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Pejabat PPD Larut Matang dan Selama di Jalan Taming Sari, Taiping pada Ogos 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM pada setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam Nor Fatihah Ibrahim yang mewakili Yunus memohon agar anak guamnya dikenakan ikat jamin minimum sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan mempunyai tanggungan empat anak di mana tiga daripadanya masih belajar selain isteri yang tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kelima-lima pertuduhan selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Ipoh pada setiap bulan.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 30 Mei depan untuk pengurusan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN