KLIA Terminal 2 sesak, ribuan penumpang terkandas ke Sabah, Sarawak

KLIA Terminal 2 sesak, ribuan penumpang terkandas ke Sabah, Sarawak

PENUMPANG penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang terkandas akibat pembatalan penerbangan kerana letupan Gurung Ruang, Indonesia di KLIA. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Ribuan penumpang dilaporkan terkandas di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi penerbangan ke Sabah dan Sarawak susulan letusan Gunung Ruang di Sulawesi, Indonesia.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, penumpang terjejas masih tidak berganjak dan berkumpul di ruang pelepasan bagi mendapatkan perkembangan terkini susulan pembatalan penerbangan itu.

Terdahulu, Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan beberapa penerbangan ke/dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) ke Sabah dan Sarawak hari ini berikutan letusan gunung berapi itu.

Syarikat penerbangan itu memaklumkan, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa yang sedang berlaku dan memaklumkan sebarang perkembangan terkini.

Maklumat lanjut mengenai pembatalan penerbangan akan dibuat di sini (aplikasi X) dan dimaklumkan terus kepada pelanggan yang terjejas.

Difahamkan, antara penerbangan Air Asia yang terjejas melibatkan laluan antara Kuala Lumpur ke Tawau selain laluan Tawau- Kuala Lumpur, Tawau- Kota Kinabalu dan Kota Kinabalu-Tawau.

Ia turut melibatkan laluan bagi penerbangan ke Sandakan, Labuan, Miri, Sibu, Bintulu, Kuching dan Brunei yang dijangka terjejas sehingga pukul 8 pagi esok.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut mengeluarkan Maklumat Keselamatan berkenaan Amaran Bahaya Debu Gunung Berapi Ruang yang memberi impak kepada operasi penerbangan di Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu.

Kesan letusan ini menyebabkan terbentuknya awan debu yang bergerak menuju ke FIR Kota Kinabalu yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang udara berkenaan.

“CAAM menyarankan syarikat penerbangan dan pengendali pesawat untuk memantau secara berterusan perkembangan meteorologi, notis serta maklumat-maklumat berkaitan debu gunung berapi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Orang ramai yang terlibat bagi penerbangan melibatkan kawasan berkenaan juga dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan mengenai perkembangan letusan gunung berapi dan status terkini jadual penerbangan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN