PETALING JAYA: Kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kerajaan Rakyat Perbandaran Hangzhou, China bakal membuka peluang kepada usahawan dan pemain teknologi komunikasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa berkata, kerjasama antara bandar itu merupakan yang pertama di antara kedua-dua negara yang memberi fokus kepada industri syarikat pemula (startup).
Menurut beliau, satu surat niat (LOI) antara dua bandar itu akan memberi manfaat jangka pandang dan membantu meningkatkan pelaburan serta memberi peluang yang luas kepada pertukaran teknologi tinggi terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan ekosistem syarikat pemula di Malaysia serta China.
“Melihat kepada perkembangan pesat industri pemula di China, perkongsian pengetahuan dan kepakaran bersama terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi akan memberi nilai tambah yang akan menguntungkan Malaysia.
“LoI ini juga akan membuka prospek penting bagi usahawan dan pemain teknologi komunikasi di kedua-dua negara untuk terus berinovasi dan memajukan teknologi.
“LoI ini turut akan memberi tumpuan kepada bidang-bidang seperti kerjasama ekonomi dan perdagangan, program bandar pintar, e-dagang, pembangunan ekosistem startup dan rangka kerja pengawalseliaan AI,” katanya di dalam satu kenyataan bersempena Sidang Kemuncak KL20 2024.
Untuk rekod, KL20 yang diluncurkan pada 27 Mac lalu merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Ekonomi dalam usaha melonjakkan nama negara sebagai ekosistem syarikat pemula dan 20 terbaik di dunia.
KL20 yang dianjurkan selama dua hari menghimpunkan syarikat pemula, pelabur dan pemimpin industri untuk memupuk inovasi, kerjasama dan pertumbuhan ekosistem syarikat pemula di Malaysia serta melonjakkan Malaysia sebagai kuasa besar dalam industri elektronik dan elektrikal (E&E) di persada dunia terutamanya melibatkan inovasi, penyelidikan dan pembangunan.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, KL20 turut menjadi pintu masuk inovasi di Asia Tenggara dan mengangkat Kuala Lumpur ke dalam senarai 20 hab pemula terbaik global menjelang 2030.
“PenganjuranKL20 ini juga memberi kelebihan kepada Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur untuk mencapai kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan ibu kota.
“Menerusi pembangunan fizikal, sosioekonomi, kawalan perancangan serta perkhidmatan perbandaran secara terancang dan selaras berteraskan tadbir urus yang cemerlang,” jelasnya. – UTUSAN










