'Kini hanya tinggal kenangan, mereka pergi begitu cepat'

‘Kini hanya tinggal kenangan, mereka pergi begitu cepat’

AZAM Radin Mustapha Amiruddin menziarahi kubur isteri dan tiga anaknya di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor, Tapah, Perak, semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Lelaki yang kehilangan isteri dan tiga anaknya dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor pada Februari lalu terkilan kerana tidak dapat memakai baju raya sedondon pada sambutan Aidilfitri kali ini seperti dirancang.

Azam Radin Mustapha Amiruddin, 46, berkata, sebelum ini mereka sekeluarga bercadang memakai baju raya berwarna oren sedondon untuk menyambut ketibaan 1 Syawal, minggu lalu.

Namun hasrat itu tidak tercapai selepas anaknya, Hanum Marissa Azam, 2, Hafif Muhayat Azam, 4, dan Hanna Mikayla Azam, 7, serta isterinya, Aszura Bani, 37, meninggal dunia dalam tragedi tersebut.

“Tahun ini arwah isteri bercadang pakai baju raya sedondon warna oren, agak terkilan kerana hasrat arwah tidak kesampaian,” katanya ketika menziarahi kubur isteri dan anak-anaknya di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor, di sini semalam.

Menurut Azam Radin , dia terkenang saat-saat berhari raya bersama anak-anaknya yang menggemari rendang ayam dimasak ibu mereka.

“Tapi semua itu hanya tinggal kenangan. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui betapa sedihnya kehilangan mereka sekali gus, mereka pergi begitu cepat,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah lebih dua bulan tragedi yang meragut nyawa anak dan isterinya, dia tidak boleh melupakan detik kehilangan mereka.

“Dengan sokongan adik beradik, ahli keluarga, kawan-kawan dan saudara mara saya bangun perlahan-lahan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Dalam kejadian 7 Februari lalu, isteri dan tiga anak Azam Radin maut selepas dihanyutkan arus deras ketika mereka berkelah di kawasan Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor dekat sini.

Mayat Aszura ditemui sejurus selepas kejadian berhampiran jambatan di sungai berkenaan, manakala mayat anaknya, Hafif Muhayat, ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian pada hari yang sama.

Operasi mencari dan menyelamat yang diteruskan keesokannya menemukan mayat dua beradik, Hanum Marissa, dan kakaknya, Hanna Mikayla. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×