KULAI: Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sendiri sekiranya berlaku pelanggaran peraturan berhubung tiga kilang memproses tayar terpakai yang didakwa beroperasi secara mencurigakan.
Yang Dipertuanya, Mohd. Fahmi Salam berkata, siasatan sedang dijalankan pihaknya dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Pejabat Tanah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.
“Berkaitan tiga kilang berkenaan, kita sedang menjalankan siasatan dan pandang serius operasi perindustrian yang boleh mencemarkan alam sekitar.
“Kita akan lihat sekiranya berlaku pelanggaran peraturan sama ada di peringkat PBT atau lain-lain agensi, kita akan ambil tindakan lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan tiga kilang memproses tayar terpakai beroperasi secara mencurigakan yang dikhuatiri boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar seperti insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang beberapa tahun lalu.
Kilang-kilang berkenaan disyaki beroperasi secara tersembunyi selain menggunakan lesen berbeza berbanding aktiviti sebenar yang dijalankan.
Mohd. Fahmi memberitahu, pada tahun ini, MPKu merobohkan dua premis kilang yang didapati beroperasi tidak mengikut prosedur dan undang-undang ditetapkan iaitu memproses sisa kelapa sawit dan barangan kitar semula.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor memberitahu, kerajaan negeri mengalu-alukan pengusaha menjalankan operasi di negeri ini, namun perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Kilang-kilang yang beroperasi tanpa lesen, mencemarkan alam sekitar termasuk sungai-sungai di negeri ini sudah tentu tidak dibenarkan. Kita akan ambil tindakan tegas atas kesalahan tersebut.
“Jadi nasihat kita, kilang-kilang sedemikian diminta untuk datang ke PBT masing-masing dan buat permohonan kebenaran merancang, mungkin kita boleh bantu,” katanya. – UTUSAN








