KOTA BHARU: Suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, reman selama seminggu bermula hari ini.
Perintah reman ke atas Hafizul Harawi 38, dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid.
Tindakan itu bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan mengikut seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Terdahulu, Hafizul yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di mahkamah pada pukul 8.30 pagi diiringi oleh anggota polis dari Unit D9 (Bahagian Siasatan Jenayah Berat) lengkap bersenjata.
Suspek dilihat tenang sebaik sahaja tiba di pekarangan mahkamah.
Suspek yang cuba membunuh isterinya dengan melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 KLIA ditahan di Kota Bahru, semalam selepas 36 jam diburu polis.
Semasa ditahan, polis menjumpai dan merampas sepucuk pistol yang digunakan suspek semasa melepaskan tembakan di KLIA. – UTUSAN










