MELAKA: Selepas 32 tahun pemergian penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Kenny Lee, 64, iaitu penyanyi yang mendapat jolokan ‘Sudirman Melaka’ mengakui masih berasa terkilan.
Meskipun sudah menyanyikan banyak lagu Sudirman sepanjang tempoh bergelar anak seni, namun Kenny tidak pernah bertemu atau menerima undangan menyanyi bersama penyanyi legenda itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kenny berkata, dia menyesal kerana tidak berusaha untuk berjumpa dengan Allahyarham, walaupun hampir 48 tahun menyanyikan lagu-lagu Sudirman.
“Bila dikenang balik, saya memang cukup berasa menyesal kerana tidak dapat berjumpa mahupun menerima undangan menyanyi dalam konsert yang dihoskan oleh Allahyarham.
“Rasanya seluruh rakyat Malaysia kenal saya yang mendapat jolokan Sudirman Melaka kerana suara saya miripnya. Saya tidak pernah menyanyikan lagu penyanyi lain.
“Sebenarnya saya ini orang kampung dan masih ada rasa segan hendak pergi berjumpa Allahyarham semasa hayatnya, tapi itulah rasa kesal yang terus terpahat di benak fikiran saya,” katanya ketika ditemui di Taman Merdeka di sini.
Tambah Kenny, sebelum ini bekas penulis hiburan, Allahyarham Mama Juwie pernah menyatakan hasrat untuk membawanya berjumpa Sudirman.
Namun, usaha itu gagal apabila Mama Juwie mengalami komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser prostat dan mendapat rawatan di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, Kuala Lumpur sebelum meninggal dunia.
“Walaupun usia sudah menjangkau warga emas namun saya masih terus menyanyikan lagu Allahyarham Sudirman jika menerima undangan menyanyi dalam sebarang majlis keraian,” ujarnya.
Kenny mula dikenali ramai selepas muncul juara mingguan dalam pertandingan Juara-juara bersama kumpulan Muhibbah Madu Lebah terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Selepas itu saya menerima pelawaan muncul dalam Konsert Emas RTM dengan penampilan pakaian, rambut dan gaya Sudirman sehingga saya ditawarkan merakamkan sebuah album,” katanya. – UTUSAN










