Kematian luar waktu kerja bukti Skim Kemalangan Bukan Bencana perlu diperkenal

Kematian luar waktu kerja bukti Skim Kemalangan Bukan Bencana perlu diperkenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah kematian direkodkan dalam Op Selamat sempena musim perayaan saban tahun membuktikan keperluan mendesak bagi menyegerakan pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) sebagai langkah proaktif untuk melindungi hak pekerja terutama yang melibatkan kemalangan jalan raya di luar waktu bekerja.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, perlindungan secara menyeluruh dan komprehensif di luar waktu bekerja seperti SKBBK perlu diperkenal seiring dengan hasrat kerajaan yang komited dalam memperkasa kesejahteraan rakyat meliputi pelbagai golongan.

Katanya, semua pihak perlu berganding bahu supaya skim keselamatan sosial yang khusus dengan skop perlindungan lebih luas di luar waktu bekerja dapat diwujudkan dengan kadar segera.

“SKBBK berupaya memberi perlindungan menerusi bayaran pampasan untuk rawatan perubatan, gantian pendapatan dan sokongan kewangan kepada mereka yang terjejas.

“Sekiranya kerajaan merealisasikan suara rakyat ini, ia tidak hanya akan meningkatkan taraf kesejahteraan pekerja tetapi memanifestasikan usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyatnya.

“Ia adalah langkah progresif yang perlu dititikberatkan memandangkan banyak bencana berlaku ke atas pekerja dalam kes tuntutan faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) ditolak berikutan ia tidak diiktiraf sebagai bencana kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Effendy menyandarkan gesaannya dengan statistik terbaharu kemalangan jalan raya pada Op Selamat yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 1 hingga 10 April lalu sempena perayaan Aidilfitri.

Dalam operasi itu, sebanyak 1,631 kemalangan jalan raya direkodkan dengan 18 individu maut.

Mengulas lanjut, Mohd. Effendy berkata, isu tersebut perlu dinoktahkan dengan pengenalan SKBBK seiring dengan hasrat Malaysia dalam menjadi negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Sweden dan Norway menjelang tempoh lima hingga lapan tahun dari sekarang.

Katanya, SKBBK adalah manifestasi dalam mengutamakan konsep kebajikan dalam golongan pekerja melalui perlindungan tambahan terhadap keselamatan serta kesejahteraan pekerja yang lebih holistik di luar waktu bekerja.

“Ia jelas menunjukkan kesediaan Malaysia untuk mengadaptasi praktik terbaik dalam menyediakan perlindungan pekerja komprehensif yang tidak hanya memberi manfaat kepada individu tetapi juga kepada ekonomi secara keseluruhan dengan mengurangkan beban kewangan ditanggung oleh masyarakat.

“Pada masa sama, perlindungan bagi SKBBK ini adalah seiring dengan Konsep 3K Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan pekerja yang dicetuskan oleh Menterinya, Steven Sim Chee Keong,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN