Kemalangan libat anggota PDRM meningkat - KP KL

Kemalangan libat anggota PDRM meningkat – KP KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes kemalangan membabitkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lalu meningkat sebanyak 14 peratus berbanding 2022.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, statistik tahun lalu menunjukkan peningkatan kira-kira 56 kes kemalangan membabitkan pegawai dan anggota PDRM iaitu 456 kemalangan berbanding 400 kes tahun sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, kes kemalangan maut semasa dalam tugas pada tahun lalu lebih rendah sebanyak 25 kes daripada 31 kes pada 2022.

“Justeru, sekali lagi saya nasihatkan semua warga Polis Kuala Lumpur untuk sentiasa peka dan utamakan keselamatan dalam menjalankan tugas di lapangan.

“Kalau penat, rehat dan tidur secukupnya. Jika tidak sihat, dapatkan rawatan. Ini kerana apabila berlaku kejadian tidak diingini (kemalangan), ada anak kecil ditinggalkan.

“Malah, dua hari lalu, turut berlaku kemalangan maut membabitkan anggota (Kontinjen KL) yang dalam perjalanan ke Semenyih selepas menghadiri latihan menembak,” katanya kepada pemberita selepas selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Rusdi berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM10.1 juta sepanjang tempoh Januari hingga Mac tahun ini berbanding RM39.7 juta tempoh sama 2023.

“Statistik perbandingan tangkapan bagi Januari hingga Mac tahun ini dan tempoh yang sama bagi tahun lepas menunjukkan peningkatan. Seramai 5,977 orang ditahan pada tahun ini berbanding 3,576 orang pada 2023,” katanya.

Dalam pada itu, Rusdi berkata, perkembangan dunia masa kini yang menjadikan platform dalam talian bagi tujuan penipuan telah menyumbangkan kepada peningkatan kadar jenayah di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur telah melakukan sebanyak 996 serbuan untuk tempoh Januari hingga Mac 2024.

“Bagi jenayah pusat panggilan, JSJK telah membuka sebanyak 16 kertas siasatan membabitkan tangkapan seramai 180 orang.
“Cawangan Khas Kuala Lumpur juga menjalankan risikan ke atas sindiket-sindiket yang menjalankan penyeludupan rokok tidak bercukai dan menahan dua orang warganegara asing serta merampas rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM 66,205.02,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN