KUBANG PASU: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai terbabas ke dalam parit di Taman Jelutong, Changlun, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Muhammad Faiz Zainal, 36, disahkan maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 3.07 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati terdapat sebuah kereta tenggelam dalam parit yang airnya mengalir deras. Pihak bomba dan ambulans juga berada di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa ditemukan masih di dalam kereta tersebut sebelum disahkan telah meninggal dunia.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN







