GEORGE TOWN: Keluarga kepada salah seorang mangsa nahas helikopter iaitu Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, mengesahkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halamannya iaitu di Sungai Nibong, Pulau Pinang.
Menurut adik ipaq mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lina, 40, berkata, semua ahli keluarga terdekat sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
“Jenazah akan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh (Perak) untuk proses bedah siasat dan kami (ahli keluarga masih menanti perkembangan terkini.
“Ketika ini juga, ibu bapa mertua serta suami saya sendiri sudah pun berada di Lumut untuk tujuan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kata Lina, jenazah abang iparnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini selepas semua urusan berkaitan selesai sama ada hari ini atau esok.
Selain Muhammad Firdaus, turut terkorban dalam tragedi pukul 9.45 pagi membabitkan dua buah helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu ialah sembilan lagi kru termasuk tiga penumpang.
Akibat pelanggaran itu, salah sebuah daripada helikopter tersebut iaitu jenis HOM-AW139 dilaporkan terhempas dalam kawasan Stadium TLDM Lumut manakala sebuah lagi iaitu model Fennec pula terhempas berhampiran kolam renang di Kompleks Sukan TLDM di situ. – UTUSAN










