Kekal tradisi beraya dengan ibu, bapa mentua - Puteri Sarah - Utusan Malaysia

Kekal tradisi beraya dengan ibu, bapa mentua – Puteri Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun status sebagai isteri sudah dilucutkan tatkala cerai dilafazkan tahun lalu, namun bagi Puteri Sarah, ada tradisi yang wajib dikekalkan atas dasar kasih sayang dan silaturahim yang tidak akan putus.

Bakal menyambut lebaran dengan keluarga mentua bekas suaminya, Puteri Sarah tidak pernah menganggap ibu dan bapa mentuanya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail sebagai orang luar apatah lagi mahu memutuskan hubungan kekeluargaan.

“Walau apa pun terjadi, mereak tetap ibu dan bapa saya. Tak putus hubungan sampai bila-bila. Kasih sayang saya terhadap mereka tetap sama walaupun mungkin kami ‘dipisahkan’ oleh status bekas suami isteri itu.

“Raya kali ini, seperti biasa kami akan meneruskan tradisi beraya bersama. Tahun ini kami akan pulang ke Pulang Pinang dan mungkin dalam raya ketiga, kami akan bercuti bersama keluarga saya juga.

“Alhamdulillah, rasa disayangi mereka itu tidak pernah kurang. Anak-anak saya juga sentiasa bersama mereka, malah saya juga sekarang sedang berlakon bawah produksi bapa mentua juga tau,” kongsinya.

Berkongsi persiapan raya, pelakon Evolusi KL Drift: The Series itu berkata, dia lebih mementingkan kemeriahan raya untuk anak-anak berbanding dirinya yang kini sibuk dengan perniagaan.

Kongsinya, keterujaan anak-anak lebih terasa kerana Syaikhul Islam, 7, dan serta Sumayyah, 6 tidak sabar untuk bercuti bersama keluarga besar mereka di Batu Ferringhi pada minggu awal Syawal.

“Saya sebenarnya memang sibuk sepanjang Ramadan. Berniaga sini sana, dengan jadual penggambaran lagi. Jadi saya sudah siapkan persediaan raya itu lebih awal, supaya tidak kelam kabut.

“Tetapi Aidilfitri ini, anak-anak lebih teruja kan. Mereka ajak bercuti, jadi tahun ini alang-alang balik Penang dengan keluarga mentua, jadi saya akan sambung beraya di Batu Feringhi. Bercuti bersama.

“Baju raya untuk anak-anak juga sudah siap. Sebab sekarang saya sedang sibuk penggambaran drama Polis Peronda untuk 30 episod jadi kena susun jadual betul-betul,” katanya.

Ditanya adakah anak-anak akan beraya dengan bapa mereka, Syamsul Yusof, ibu kuat berusia 38 tahun itu terbuka sekiranya bekas suaminya menghubungi untuk mengambil anak-anak beraya bersama.

“Tak berani nak cakap, tetapi kalau dia nak ambil anak-anak untuk beraya bersama saya tak ada masalah. Saya masih berhubung dengan dia soal anak-anak. Kalau dia nak jumpa anak-anak, dia akan hubungi saya.

“Saya tak adalah sampai nak tanya khabar dia. Tak pernah tanya apa-apa pun. Saya sibuk dengan kehidupan sendiri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×